Skip to main content
Home

Lebih Ramai Baju Kuning, Merah Akan Ditahan – Ahmad Zahid

By 19 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

BAGAN DATOH, 19 Nov — Lebih ramai individu yang menyertai Bersih 5.0 dan kumpulan Baju Merah akan ditahan sebelum didakwa di mahkamah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri itu, senarai individu yang terlibat dalam perhimpunan haram itu telah dikenal pasti namun pihak polis tidak akan mendedahkan senarai nama berkenaan.

Jelasnya tidak timbul isu ketidakadilan kuasa daripada polis kerana pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap kedua-dua pemimpin utama kumpulan berkenaan.

“Kita berharap dengan penangkapan pemimpin berkenaan ia merupakan satu isyarat daripada pihak polis dan bahawa undang-undang dan akta sedia ada perlu dihormati meskipun perhimpunan itu diteruskan.

“Tidak timbul isu ketidakadilan kuasa kerana bukan satu pihak sahaja yang ditahan, dan akan ramai lagi ditangkap,” katanya kepada pemberita selepas meninjau mangsa banjir di Kampung Simpang Tiga, Rungkup di sini Sabtu..

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup dan Pegawai Daerah Bagan Datoh Datuk Hamzah Hussin.

Justeru itu, Ahmad Zahid berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kuasa dan pelaksanaan undang-undang kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Pengerusi gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos dan pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah merupakan antara 14 individu yang ditahan semalam dan awal pagi ini berkaitan perhimpunan haram yang diadakan di ibu kota Sabtu.

Pada 8 Nov lalu, Khalid berkata kedua-dua notis telah dihantar kepada kedua-dua kumpulan berkenaan kerana tidak memenuhi prasyarat untuk menganjurkan perhimpunan dalam Akta Perhimpunan Aman yang diadakan pada hari ini.

Dalam lawatan itu, Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh turut menyampaikan barangan keperluan asas dan sumbangan peribadi kepada mangsa-mangsa banjir.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda