KUALA LUMPUR, 27 Dis — Seorang ibu empat anak dipenjara 14 hari dan denda RM200 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah mencuri 10 keping coklat, semasa cuti perayaan Krismas lepas.
Majistret Umzarul An-Nur Umar memerintahkan Zariyah Mohd Salleh, 42, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 25 Disember lepas.
Mahkamah juga memerintahkan Zariyah dipenjara empat hari lagi jika gagal membayar denda itu.
Penjual kasut itu didakwa mencuri coklat yang kesemuanya bernilai RM49.40 milik Pasaraya Mydin di Jalan Masjid India, di sini, pada 5.20 petang, 25 Disember lepas.
Zariyah didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yusha memohon hukuman setimpal bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu bekerja bagi menyara empat orang anaknya.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian pengawal keselamatan ternampak seorang wanita dalam keadaan mencurigakan dan selepas semakan dibuat, 10 keping coklat disimpan di dalam beg sandangnya tanpa resit bayaran.