Skip to main content
Home

Dua Maut, 6 Parah Kemalangan Lapan Kenderaan Di Slim River

By 21 Disember 2016Tiada komen1 minit bacaan
Foto: Media Sosial

 

IPOH, 21 Dis – Sepasang suami isteri maut, enam cedera parah dan tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Km371.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran susur keluar ke Slim River di sini semalam.

Dalam kemalangan membabitkan empat lori dan empat kereta dalam jadian kira-kira 3.30 petang itu, Ridzuan Abdul Rajak, 33, dan isterinya Intan Maizura Aidul Badri, 34, yang menaiki Proton Exora, maut di tempat kejadian.

Kemalangan itu menyebabkan laluan ditutup sementara sehingga berlaku kesesakan lebih 15 kilometer.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Supt Wan Jamil Wan Chik berkata kemalangan itu berlaku selepas sebuah lori tangki dari arah selatan menghala ke utara hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar kenderaan lain.

“Kemalangan itu menyebabkan lori tangki itu merempuh tujuh buah kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kemalangan itu membabitkan sebuah lori tangki dan tiga buah lori yang membawa muatan tayar, ikan dan kayu balak dan empat buah kereta jenis Proton Exora, Alfa Romeo, BMW dan Honda City.

Menurut Wan Jamil, mayat pasangan suami isteri itu dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasat dan kesemua mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan.

 

– Bernama

Tinggalkan komen anda