Skip to main content
Home

Wartawan Sanggup Berbaris Lama Hanya Mahukan Roti Canai PWTC

By 1 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Muhd Rizal Redzuan (PWTC)

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Malaysiaaktif) — Walaupun pelbagai hidangan disediakan untuk sarapan pagi di Laman Media Perhimpunan Agong UMNO 2016 (PAU2016) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), tetapi para petugas media sanggup beratur sehingga lebih setengah jam semata-mata untuk mendapatkan roti canai sarapan pagi.

Bagi wartawan TV3, Yamohaimi Razali, 44, dia tidak ambil kisah walaupun terpaksa beratur lebih 20 minit untuk mendapatkan roti canai yang menurutnya lembut dan sedap di situ.

f05ced9c-fc1b-478e-8973-cc51b19f08bc

Sejak PAU 2016 membuka tirai, dia antara ratusan petugas media yang menjadikan roti canai sebagai makanan wajib setiap pagi.

Wartawan media Nanyang Siang Pau, Khor Meng Siang turut berkongsi pendapat yang sama. Menurutnya roti canai ‘sedap’itu menjadi lebih sedap dengan keenakan kuah yang disediakan.

Tukang buat roti canai , Shahrom bin Shamsuddin, 47, menjelaskan setiap hari dia menebar lebih 1,100 keping roti canai bermula seawal pukul 6.30 pagi.

Termasuk tahun ini, Shahrom sudah lima tahun diberikan kepercayaan untuk menyediakan roti canai di Laman Media PWCT sempena PAU.

d6b27b94-dd14-45f8-b275-2e80111ee257

Sementara itu, wartawan Utusan Malaysia, Siti Norhawa Mohd Ali berkata roti canai memang makanan kegemaran orang Malaysia. Dia mengandaikan roti canai sebagai satu-satunya elemen yang melabelkan seseorang sebagai rakyat Malaysia.

Siti Norhawa yang sudah serasi dengan roti canai berkata lain daripada hari-hari biasa dalam rutinnya, sepanjang PAU 2016 dia menikmati roti canai yang disediakan sepenuhnya oleh orang Melayu dan bukan mamak.

Selain roti canai, pihak PWTC turut menyediakan  mi goreng, karipap, kek, nasi ambeng dan pelbagai minuman untuk petugas media yang bertali arus mengunjungi Laman Media mengikut jadual tugasan masing-masing.

Untuk Laman Media sahaja, setiap hari Bahagian Katering PWTC menyediakan makanan untuk kira-kira 2,000 orang bagi sarapan pagi, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam dan minum malam.

Bahan mentah yang digunakan untuk keperluan makanan yang disajikan di Laman Media setiap hari, termasuk lebih 390 kilogram beras, 60 kilogram tepung gandum, 22 minyak masak (tin 17 kilogram), gula 35 kilogram, 370 biji telur ayam, 50 kilogram bawang, 310 kilogram daging lembu, 135 kilogram daging kambing, 435 kilogram ayam, 335 kilogram ikan tenggiri, jenahak, dan merah, 135 kilogram sotong, sayur (lobak merah, kacang panjang, bunga kubis, kubis) 270 kilogram,  cili boh 40 kilogram, ikan bilis 4 kilogram, 100 kilogram santan, dan 200 kilogram buah-buahan (epal, tembikai, pisang, nenas, jambu susu, mangga, ciku, oren, betik, kiwi).

PAU 2016 akan berakhir pada Sabtu ini.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda