Skip to main content
HomeLabuan

1064 Pemeriksaan Premis Makanan Di Labuan Sehingga November 2018

By 21 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Md Khairul Azad Yunus/ Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 21 Dis (Malaysiaaktif) – Sebanyak 1064 pemeriksaan dilakukan Jabatan Kesihatan Labuan ke atas premis-premis makanan di Labuan dari Januari sehingga November 2018.

Menurut Pengarahnya, Dr. Ismuni Bohari, hasil pemeriksaan itu sebanyak 696 item dirampas kerana menyalahi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dengan nilai rampasan sebanyak RM5636.75.

“Rampasan tersebut dibuat atas kesalahan penjualan makanan yang telah melepasi tarikh luput dan makanan telah rosak.

Ismuni (dua dari kanan) bersama Penguatkuasa Kesihatan dan Penguatkuasa Perbadanan Labuan semasa operasi di sebuah pasaraya

Ismuni (dua dari kanan) bersama Penguatkuasa Kesihatan dan Penguatkuasa Perbadanan Labuan semasa operasi di sebuah pasaraya

“Menjual makanan yang telah melepasi tarikh luput adalah suatu kesalahan di bawah Peraturan 14(9)(b) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih dari lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun,” katanya.

Ismuni berharap pihak pengguna memainkan peranan yang penting bagi mendapatkan makanan yang selamat dan berkualiti.

“Mereka perlu bijak memilih makanan dengan menilai tahap kebersihan premis yang menyediakan makanan, tahap kebersihan pengendali makanan serta menilai kualiti serta keselamatan makanan yang dijual,” jelasnya lagi semasa ditemui media selepas menjalankan Operasi Bersepadu Penjualan Makanan Sempena Perayaan Krismas 2018 baru-baru ini.

Menyentuh mengenai operasi bersepadu itu, Ismuni berkata operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Labuan dan Perbadanan Labuan.

Pegawai KDPNHEP Labuan dan Perbadanan Labuan sedang melakukan pemeriksaan

Pegawai KDPNHEP Labuan dan Perbadanan Labuan sedang melakukan pemeriksaan

“Operasi kali ini kita tumpu kepada pematuhan Akta Makanan, Peraturan-peraturan Tembakau, Peraturan alkohol yang melibatkan tujuh pasaraya sekitar Labuan.

“Kita turut melihat pematuhan kepada pelabelan, tarikh luput, keadaan makanan dan pemeriksaan kali ini mendapati agak kurang premis yang tidak mematuhi peraturan,” katanya lagi.

Tambahnya, Jabatan Kesihatan akan terus melakukan pemantauan secara berkala bagi memastikan keselamatan dan kualiti makanan di Labuan berada di tahap yang baik terutama pada musim perayaan.

Melalui operasi itu juga 77 jenis barangan makanan dirampas bernilai RM 504.52 atas kesalahan seperti melepasi tarikh luput, tin kemek, dan kesalahan label manakala tiada kompaun dikeluarkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturannya.

EM

Tinggalkan komen anda