Skip to main content
HomeLabuan

Krismas Tahun Ini Paling Sedih Untuk Saya

By 21 Disember 2018Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/Foto: Md Khairul Azad Yunus/ Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 21 Dis (Malaysiaaktif) – Sambutan Krismas yang bakal tiba pada tahun ini adalah yang paling sedih bagi seorang penghuni Pusat Koreksional Labuan, Jabatan Penjara Malaysia.

Pemuda berusia 18 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Nyett, berkata sambutan Krismas tahun ini adalah hari paling sedih kerana terpaksa menyambutnya di tirai besi tanpa kehadiran keluarga tersayang.

“Saya menyesal, saya mahu berubah, saya akan ingat pesan ibu saya untuk tidak buat salah lagi,” katanya penuh hiba semasa ditemui pada Program Jalinan Kasih Bagi Sambutan Hari Krismas Peringkat Penghuni Pusat Koreksional Labuan Tahun 2018.

Nyett yang sudah lima bulan berada di situ begitu menginsafi pengalaman pertama kali menyambut krismas di sebalik tirai besi.

“Saya janji untuk berubah apabila keluar nanti dan perkara pertama yang akan saya buat adalah melawat kubur datuk saya yang baharu saja meninggal dunia, selepas itu saya akan cari kerja untuk membantu keluarga,” katanya.

Dia amat gembira apabila diberi kesempatan untuk bertemu dengan ibu serta dua adiknya.” Hari ini saya sangat gembira dapat jumpa ibu dan adik-adik kerana selalu hanya berbual melalui telefon, kali ini saya dapat peluk erat mereka semua,” kongsi pemuda berasal dari Nabawan, Sabah itu.

Nyett (kanan) ketika ditemu bual.

Nyett (kanan) ketika ditemu bual.

Seorang lagi penghuni iaitu Lester (bukan nama sebenar) menjadikan nasihat ibu dan abangnya sebagai pendorong yang paling kuat untuk terus berubah.

“Mama dan abang adalah kekuatan saya untuk berubah dan tidak ulangi kesalahan lalu. Mereka selalu bagi nasihat kepada saya dan saya tidak akan lupakan sampai saya bila-bila.

“Saya akan bantu perniagaan kedai mama apabila keluar nanti dan jadi anak yang bertanggungjawab serta membalas segala pengorbanan mama saya,” ujarnya yang baru berusia 29 tahun.

Nyett juga berkongsi rasa kegembiraan dapat bersua muka dengan ibu serta abangnya pada hari itu. “Perasaaan saya hari ini amat gembira kerana dapat makan dan bermesra dengan mama dan abang kerana kali terakhir mereka lawat saya adalah pada Bulan Ogos yang lalu,” katanya.

Lester juga menasihati rakan-rakan serta masyarakat di luar sana agar tidak melakukan sebarang perkara yang menyalahi undang-undang sebaliknya berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Abd Rauf (tengah) sedang beramah mesra dengan Lester dan keluarganya.

Abd Rauf (tengah) sedang beramah mesra dengan Lester dan keluarganya.

Pada ucapan perasmian program itu oleh wakil Prison Fellowship Malaysia, Jocelyn Teo Lee Choo, beliau menyeru semua pihak memberi peluang kedua kepada para penghuni di Pusat Koreksional Labuan.

“Apa yang mereka perlukan adalah kemaafan dan peluang untuk membuktikan mereka adalah insan yang boleh berubah ke arah yang lebih baik.

Prison Fellowship Malaysia telah bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia selama bertahun-tahun dalam menggilap kembali sinar harapan para penghuni untuk menghadapi masa hadapan,” katanya.

Tambahnya lagi, Sambutan Krismas adalah hari untuk berkongsi kegembiraan bersama keluarga dan rakan-rakan termasuk para penghuni Pusat Koreksional Labuan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Koreksional Labuan, PKP Abd Rauf Lang Pasih menghargai kerjasama Prison Fellowship Malaysia dan ahli-ahli keluarga penghuni pusat itu yang turut sama menjayakan program tersebut.

“Saya menghargai peranan yang dimainkan Prison Fellowship Malaysia dan kita akan jadikan program ini sebagai program tahunan kita di samping memperbaiki dalam aspek pengisian serta penglibatan pihak lain yang berkaitan.

“Terima kasih kepada keluarga yang hadir membantu pihak jabatan dalam program-program pemulihan dan saya anggap penglibatan ahli keluarga amat penting untuk menghasilkan impak yang cukup besar kepada penghuni.

Pelukan ahli keluarga yang meruntun hati semua tetamu yang hadir

Pelukan ahli keluarga yang meruntun hati semua tetamu yang hadir

“Dengan kehadiran ahli keluarga juga diharap menjadi sinar harapan kepada para penghuni untuk kembali ke dalam pangkuan keluarga serta masyarakat di luar sana,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan.

Pada program itu seramai 15 penghuni Pusat Koreksional Labuan terpilih untuk bertemu dan beramah-mesra dengan ahli keluarga masing-masing

EM

Tinggalkan komen anda