Skip to main content
HomeJohor

Minta RM5,000, Dakwa Sebagai Ejen Kerajaan Negeri

By 22 Januari 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ Foto Oleh: Norhasliza Hamzah (Segamat)

SEGAMAT, 22 Jan (Malaysiaaktif) – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor, Sr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa masih berlaku penipuan rumah mampu biaya dengan individu tertentu mendakwa sebagai ejen kerajaan negeri melalui Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan dan meminta sebanyak RM5,000 daripada bakal pembeli untuk memudahkan proses permohonan mendapatkan rumah.

“Kerajaan negeri melalui SUKJ Perumahan, kita tidak pernah melantik mana-mana individu mahupun syarikat mewakili kerajaan atau SUKJ Perumahan untuk mendapatkan rumah mampu biaya bagi kumpulan sasar B40 atau M40,” tegas beliau pada sidang media selepas Majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya B di Bandar Putra Segamat, di sini, baru-baru ini.

Tegas beliau lagi, semua permohonan boleh didaftar secara ‘online’ melalui portal erumah.johor.gov.my atau terus ke Pejabat SUKJ Perumahan di Kota Iskandar dan proses saringan akan dilakukan bagi memastikan pemohon adalah layak serta melepasi syarat yang telah ditetapkan dengan pemohon yang telah melepasi saringan kelayakan akan diminta hadir semasa hari pengundian.

Sesi bergambar bersama pemohon yang berjaya dalam majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya B semalam; dari kiri, Zainal Eran (Pentadbir Tanah Segamat), Mohd Radzi Mohd Amin (Setiausaha Bahagian Perumahan kerajaan negeri), Sr. Dzulkefly Ahmad dan wakil dari IOI Properties, Loh Chee Siong.

Sesi bergambar bersama pemohon yang berjaya dalam majlis Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya B semalam; dari kiri, Zainal Eran (Pentadbir Tanah Segamat), Mohd Radzi Mohd Amin (Setiausaha Bahagian Perumahan kerajaan negeri), Sr. Dzulkefly Ahmad dan wakil dari IOI Properties, Loh Chee Siong.

Pihak pemohon boleh membuat semakan sama ada di portal perumahan Johor atau di Pejabat SUKJ Perumahan bagi mengetahui projek-projek terkini yang dibuka untuk jualan.

Kaedah agihan yang lebih telus ini diperkenalkan dan sistem ini diberi nama Sistem Perumahan Mampu Biaya Johor (SP2MJ).

Pengundian Terbuka Rumah Mampu Biaya B di Bandar Putra Segamat menggunakan kaedah penawaran secara undian terbuka dengan orang awam boleh melihat sendiri bagaimana proses pengagihan serta kaedah undian dilaksanakan.

Bagi permohonan projek perumahan Bandar Putra Segamat, jumlah keseluruhan permohonan SP2MJ adalah sebanyak 3,942 permohonan dengan 566 permohonan tidak layak dan ditolak manakala seramai 2,780 permohonan layak tetapi ditolak kerana gagal menghantar permohonan.

Pusiah Kasbullah, salah seorang pemohon yang berjaya ditemani abang kandung Musa Kasbullah dan isteri, Roseminah Kaulan.

Pusiah Kasbullah, salah seorang pemohon yang berjaya ditemani abang kandung Musa Kasbullah dan isteri, Roseminah Kaulan.

Hanya 596 permohonan yang layak dan telah berjaya menghantar dokumen dipanggil untuk dibuat undian terbuka bagi projek Bandar Putra Segamat semalam.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Perumahan kerajaan negeri, Mohd Radzi Mohd Amin; Pentadbir Tanah Segamat, Zainal Eran; wakil dari IOI Properties, Loh Chee Siong dan ADUN Kemelah, Dr Sulaiman Mohd Nor.

Sementara itu, salah seorang pemohon SP2MJ bagi Bandar Putra Segamat, Pusiah Kasbullah bersyukur kerana berjaya dalam undian melibatkan 81 unit bagi kategori Rumah Mampu Biaya Jenis B dan dijual dengan harga bermula RM80,000.

EM

Tinggalkan komen anda