
Laporan/foto: Nurulaini Mohd Kasran/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 24 Feb ( Malaysiaaktif ) – Warga Generasi Harapan Felda Gugusan Lok Heng bertuah kerana menerima kehadiran Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian ke sini baru-baru ini.
Kehadiran beliau adalah bagi menerima borang Jadual 1 Pejabat Tanah yang diserahkan oleh wakil Generasi Harapan Felda Gugusan Lok Heng.
Menurut Menteri Besar, kerajaan negeri telah berbesar hati untuk mengurniakan tanah seluas 4,500 kaki persegi kepada anak-anak peneroka supaya boleh membina kediaman berdekatan ibu bapa masing-masing.
“Langkah ini dilihat berupaya mengeratkan ikatan kekeluargaan di mana kediaman ibu bapa dan anak-anak mereka adalah berdekatan. Anak-anak juga akan lebih mudah mendekati dan mengambil berat soal kehidupan orang tua mereka,” katanya lagi.
Salah seorang Generasi Harapan yang ditemui Malaysiaaktif, Thawab Kassim, 30, beliau rasa bersyukur kerana fasa pertama bagi mendapatkan pemilikan tanah berkenaan dapat disempurnakan dengan kehadiran Menteri Besar.
“Kami sudah tidak sabar rasanya bagi memiliki tanah dan kediaman berdekatan dengan orang tua kami. Semoga proses yang dimulakan hari ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah di peringkat Pejabat Tanah dan Galian,” tuturnya lagi.
Pada majlis itu juga, Menteri Besar turut mengumumkan pembayaran premium tanah dikurangkan daripada nilai semasa RM3.00 sekaki persegi kepada RM1.00 sekaki persegi. Ini bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup kepada bakal pemilik tanah seramai 1,253 orang.

Menteri Besar Johor menyerahkan borang Jadual 1 Pejabat Tanah kepada Pengarah Tanah dan Galian Johor untuk diproses
Turut hadir, Pengarah Tanah & Galian Negeri Johor, Mohd Halim Hasbullah, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail, ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari dan Pengurus Besar Felda Wilayah Johor Bahru, Abdul Rahman Ahmad.
EM