Skip to main content
HomeJohor

Konsep Keris Dalam Budaya Masyarakat Melayu

By 19 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Mazlin Basir/Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Keris ialah sejenis senjata turun temurun yang telah digunakan oleh masyarakat Melayu sejak lebih daripada enam ratus tahun yang lalu dan menjadi lambang kemegahan bangsa, maruah, kedaulatan, kekuasaan, kehormatan dan harga diri.

Tanggapan umum terhadap keris adalah senjata untuk membunuh dan ini merupakan satu tanggapan yang tersasar dari konsep keris itu diilhamkan kerana keris merupakan satu artifak budaya warisan khas yang mempunyai peranan tertentu.

Fungsi keris pada zaman dahulu adalah senjata untuk mempertahankan diri, manakala pada zaman kini keris banyak dijadikan sebagai perhiasan di rumah, pejabat serta dipakai untuk melengkapi pakaian rasmi dalam majlis-majlis tertentu seperti majlis diraja.

Selaku Panglima dalam Perguruan Harimau Berantai, Yushadi Muslim, 45, berkata Keris di Malaysia banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur budaya di Nusantara oleh sebab itu, terdapat kepelbagaian dalam etnik keris seperti Keris Bugis, Keris Jawa dan sebagainya.

Yushadi Muslim bersama anak gelanggang sedang menerangkan konsep keris

Yushadi Muslim bersama anak gelanggang sedang menerangkan konsep keris

“Keris dapat dibezakan melalui hulu, pendongkok dan likunya (lok) misalnya Keris Jawa yang mempunyai lok dalam angka ganjil manakala Keris Bugis bilahnya lurus (sepukal),” ujarnya.

Selain dianggap sebagai ‘senjata membunuh’, majoriti masyarakat pasti mempunyai persepsi bahawa artifak pusaka ini mempunyai kekuatan magis dan mampu mendatangkan keselamatan kepada pemiliknya.

“Keris ini dijadikan sebagai satu simbol pertahanan dan kekuatan diri terutamanya bangsa dan masyarakat Melayu namun masyarakat seringkali mengaitkannya dengan unsur-unsur mistik.

“Kebudayaan Melayu amat sinonim dan tidak dapat dipisahkan dengan agama Islam kerana jika diasingkan pasti akan terpesong dan menjurus ke arah khurafat. Tambahan pula, konsep keris ini telah ditukar oleh penjajah dan menjadikannya sebagai artifak yang berkaitan dengan ilmu kebatinan,” tambahnya.

Tidak dinafikan, masih ada pengamal pengubatan tradisional yang melakukan ritual pemujaan keris dan berjamu keris dengan pembakaran asap kemenyan. Walau bagaimanapun, ‘jampi mantera’ yang dibenarkan penggunaannya menurut syariat Islam ialah berbentuk doa kepada Allah S.W.T sahaja dan bukannya meminta kepada kuasa yang lain selain daripada Allah S.W.T.

“Dalam pembelajaran saya, besi yang digunakan pada keris adalah besi semata dan tiada karomah di besi tersebut kerana segalanya datang daripada Allah S.W.T dan perlu ‘diisi’ dengan zikir-zikir dan sebagainya yang bersesuaian dengan agama Islam untuk mendapatkan karomah di keris tersebut,” ujar beliau yang sudah lapan tahun aktif dalam Perguruan Harimau Berantai.

“Malahan pula, ketika dahulu Maulana Malik Ibrahim yang membawa simbolik keris berdasarkan cerita dari negara Arab iaitu Perang Karbala sehingga ke zaman Hang Tuah dikatakan juga sebagai dakwah di Nusantara,” jelasnya lagi.

Selain itu, Islam telah meletakkan senjata itu sebagai suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia khususnya keris dalam konteks ilmu mempertahankan diri malah, amalan mempelajari kemahiran bermain senjata keris ialah fardhu kifayah.

Orang Melayu perlu ada senjata dan ilmu tentang keris

Orang Melayu perlu ada senjata dan ilmu tentang keris

“Setiap orang Melayu sama ada lelaki atau perempuan yang dikenali juga sebagai pendekar dan srikandi wajib ada keris sebagai simbol menentang kejahatan,” tambah Yushadi.

Sementara itu, penyelenggaraan keris sangat penting agar sentiasa terpelihara dan berada dalam keadaan baik kerana pada umumnya bahan yang digunakan untuk bilahnya berasal daripada logam yang mudah karat maka, keris memerlukan rawatan yang rapi untuk mengurangkan karat di permukaannya.

“Kita kena ada adab dengan senjata sebab adab ini memainkan peranan yang penting kerana senjata ini mudah kita lalai dan beri kesan pada orang lain.”

Status dan peranan keris perlu dimartabatkan berlandaskan agama sebelum terhakis oleh arus zaman, di samping mengekang budaya phobia keris dalam masyarakat Malaysia khususnya.

“Keris ni kita anggap sebagai satu daripada budaya kita kerana orang Melayu perlu ada senjata dan ilmu tentang keris berlandaskan rukun Iman dan Islam. Budaya dan agama ini perlu selari,” ujar Yushadi bagi membetulkan persepsi orang ramai yang memandang keris ini sebagai mistik.

Masyarakat melayu masih percaya bahawa keris memiliki keistimewaan dan nilai yang tinggi., malahan ia adalah lambang dan simbol ketinggian masyarakat Melayu dahulu hingga kini.

EM

Tinggalkan komen anda