Skip to main content
HomeJohor

Peranan PBT Membangunkan Ekonomi Kreatif

By 11 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin/Pejabat EXCO Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor (Johor Baharu)

ISKANDAR PUTERI, 11 Mac (Malaysiaaktif)  EXCO Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Penerangan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali membentangkan beberapa inisiatif di bawah portfolionya, Ekonomi Kreatif dalam satu mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh EXCO Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Negeri Johor, Tan Hong Pin di sini, hari ini.

Sheikh Umar dalam pembentangannya, menekankan betapa pentingnya peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan negeri dalam industri Ekonomi Kreatif.

Tambah Sheikh Umar lagi, menerusi kerjasama strategik ini segala idea dan usaha pembangunan dapat digembleng secara bersepadu dan sistematik agar kedua-dua pihak mampu mencapai objektif serta mendapat manfaatnya.

“Peranan PBT dalam membangunkan sosio-ekonomi tempatan amatlah penting, manakala Ekonomi Kreatif adalah bidang yang bersifat rentas-bidang yang mana bidang-bidang seperti keusahawan, seni, kebudayaan dan pelancongan adalah berasaskan inisiatif dan keupayaan di kalangan komuniti warga tempatan sebagai penggerak dan pencetusnya,” ujarnya.

EXCO Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Penerangan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali semasa membuat pembentangan

EXCO Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Penerangan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali semasa membuat pembentangan

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu menyelia dengan cekap kegiatan, aktiviti dan program-program yang bersifat kreatif oleh komuniti-komuniti tempatan agar kerajaan negeri dapat menyalurkan segala bantuan yang diperlukan baik oleh PBT dan juga komuniti lokal.

Dalam maksud lain, kerjasama antara kerajaan negeri, PBT dan komuniti adalah bertujuan untuk mewujudkan satu ekosistem yang mana ia saling berkait dan memerlukan dalam membentuk sinergi antara semua pihak. Memberdayakan peranan PBT dan komuniti tempatan adalah salah satu tujuan kerjasama ini.

Selaku EXCO di bawah portfolio Ekonomi Kreatif, Sheikh Umar menegaskan akan membantu dan mencari jalan terbaik untuk membantu PBT bagi membolehkan satu rangka kerja bidang Ekonomi Kreatif yang lebih jelas dan tersusun dapat dibentuk selepas ini.

Sebagai langkah susulan daripada pembentangan ini, lawatan ke kawasan-kawasan yang berpotensi di bawah seliaan PBT akan dilakukan untuk dibangunkan sebagai lokasi Ekonomi Kreatif pada masa hadapan. Usaha ini pastinya akan dapat dilaksanakan dengan kerjasama PBT dan komuniti setempat.

Mesyuarat turut dihadiri oleh Datuk Bandar, Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua serta Setiausaha Pihak Berkuasa Tempatan bagi setiap daerah.

EM

Tinggalkan komen anda