Skip to main content
HomeJohor

Sketsa Rukun Negara Bentuk Minda Pelajar

By 6 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Mazlin Basir/Noor Hidayah Mohd Izam/Siti Afiqah Mohd Zin (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Penghayatan golongan belia dalam meningkatkan kefahaman prinsip Rukun Negara masih ditekankan oleh agensi-agensi kerajaan walaupun institusi sekolah mendidik untuk melahirkan pelajar yang mempunyai jati diri hebat dan berpatriotik.

Justeru, Pertandingan Sketsa Rukun Negara anjuran Jabatan Penerangan diadakan untuk membentuk minda masyarakat khususnya dalam kalangan pelajar agar bersatu padu, meningkatkan semangat patriotik, bestari dan cintakan negara.

Pertandingan ini merangkumi aktiviti komunikasi bersemuka berkonsepkan seni lakonan dan penceritaan. Ia merupakan kaedah pemujukan yang menggabungkan kesemua kaedah komunikasi.

Pegawai Penerangan Daerah Batu Pahat, Amah Yunos berkata “setiap tahun wakil daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Ismail (STI) sentiasa terlibat dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Negeri Johor dan prestasinya tidak mengecewakan kerana pingat johan pasti diraih oleh daerah Batu Pahat.”

Pengetua SMK Tun Ismail, Mohd Taat Kasran ketika menyampaikan ucapan Majlis Perasmian Amalan Demokrasi Berparlimen dan Sketsa Rukun Negara.

Pengetua SMK Tun Ismail, Mohd Taat Kasran ketika menyampaikan ucapan Majlis Perasmian Amalan Demokrasi Berparlimen dan Sketsa Rukun Negara.

“Saya yakin STI mampu membawa nama daerah Batu Pahat di peringkat kebangsaan pula sekali gus mencungkil bakat-bakat seni yang berunsurkan patriotisme dalam kalangan pelajar seperti deklamasi sajak, puisi, lakonan teater dan sebagainya”, ujarnya lagi.

Pengetua STI, Mohd Taat Kasran berkata “para pelajar khususnya pelajar tingkatan enam perlu mengambil iktibar daripada prinsip Rukun Negara kerana pembentukan Rukun Negara bukanlah sesuatu yang mudah dan penerapannya berlaku dalam jangka masa yang panjang”.

“Kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk menjadikan masyarakat berbilang kaum menjadi masyarakat yang harmoni. Disebabkan masalah ketidakseimbangan ekonomi maka, kerajaan telah melancarkan Rancangan Malaya Pertama dan diikuti dengan Rancangan Malaya Kedua.”

“Selepas kegagalan Rancangan Malaya Pertama dan Kedua, kerajaan tidak berputus asa untuk membaiki masalah ini dengan mewujudkan Rancangan Malaysia Pertama dan akhirnya menjadi kerangka ekonomi yang menjadi Rancangan Jangka Masa Panjang Negara agar dapat membangunkan ekonomi, memajukan masyarakat untuk kesejahteraan Negara,” jelasnya.

Tambah beliau, “Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan jika setiap rakyat Malaysia cakna tentang kepentingannya”.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Majlis Perasmian Amalan Demokrasi Berparlimen dan Sketsa Rukun Negara anjuran Pejabat Penerangan Batu Pahat di Dewan STI Batu Pahat, Johor semalam.

Perasmian turut disertai dengan persembahan Sketsa Rukun Negara dari Kelab Minda Kreatif STI dan sketsa yang dipertontonkan juga bakal dipertandingkan di peringkat negeri pada 7 Mac 2019 akan datang.

Selaku pengarah sketsa, Rohaidah Yon berkata “pada tahun ini kami membuat kelainan dengan memberi penekanan terhadap prinsip Rukun Negara keempat iaitu Kedaulatan Undang-undang namun demikian, prinsip-prinsip yang lain juga tidak dilupakan”.

Nur Sharminn Athirah Sabarudin, 19 Pelajar Tingkatan enam.

Nur Sharminn Athirah Sabarudin, 19 Pelajar Tingkatan enam.

Beliau ingin generasi muda menghayati prinsip ini kerana tidak mahu sikap tidak menghormati undang-undang berleluasa dari peringkat remaja sekali gus meningkatkan kesedaran tentang martabat undang-undang di Malaysia.

Nur Sharmin Sabarudin, 19 berkata “sebagai pelajar tingkatan enam, sketsa ini membantu saya untuk lebih cakna dan memahami tentang prinsip-prinsip Rukun Negara lebih-lebih lagi berkait rapat dengan mata pelajaran Pengajian Am,” jelasnya yang memegang watak sebagai Fatimah dalam sketsa ini.

Peri pentingnya Rukun Negara menjadi pegangan rakyat Malaysia setelah berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Maka, Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 ketika itu.

Lima prinsip yang perlu disematkan dalam jiwa rakyat Malaysia iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Secara keseluruhan, melalui Pertandingan Sketsa Rukun Negara ini golongan belia akan dapat mengingati, mengamalkan dan menghormati lima prinsip rukun negara seterusnya dapat meningkatkan lagi semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan mereka.

Majlis turut dihadiri guru-guru dan pelajar-pelajar khususnya tingkatan enam STI.

EM

Tinggalkan komen anda