Skip to main content
HomeJohor

‘Aktif dan Yakin’ Kata Kunci Dinobat Anugerah Pandu Puteri Remaja

By 5 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Mazlin Basir/Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 5 April (Malaysiaaktif) – Kekal aktif dan yakin dalam apa jua yang dilakukan kunci kejayaan pelajar 16 tahun dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pandu Puteri Remaja tahun ini.

Lim Yi Bei, 16, pelajar dari SMK Bandar Putra Kulai berasa gembira dan berkata anugerah ini adalah dorongan daripada guru-guru sekolah dan juga ibu bapa.

“Sekolah dan guru yang menyebabkan saya mendapat anugerah ini terutamanya Cikgu Hairiani Mohamed. Saya terlibat dalam Pandu Puteri sejak dari sekolah rendah lagi dan mula aktif sebaik sahaja masuk sekolah menengah iaitu dari tingkatan satu.

Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim menyampaikan pingat kepada penerima.

Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim menyampaikan pingat kepada penerima.

“Sekiranya kita mahu berubah, ubahlah menjadi lebih positif. Kita perlu mencuba sesuatu perkara yang baharu, kalau tidak kita akan menyesal dan disebabkan sikap suka mencuba ini saya menjadi lebih aktif dan yakin,” tambahnya lagi.

Lim Yi Bei antara 17 orang penerima anugerah yang ditemui dalam Majlis Perasmian Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Johor Ke-30 Tahun 2019.

Menurut Naib Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, pemimpin haruslah berkarisma dan cekal dalam menghadapi cabaran mengurus persatuan.

Tun Tun Aminah Sultan Ibrahim bergambar bersama Lembaga Eksekutif Cawangan dan Pesuruhjaya Daerah

Tun Tun Aminah Sultan Ibrahim bergambar bersama Lembaga Eksekutif Cawangan dan Pesuruhjaya Daerah

“Mereka juga perlu memberi inspirasi kepada ahli memperoleh prestasi cemerlang. Oleh itu, mereka haruslah komited dengan tanggungjawab organisasi untuk membawa perubahan yang membanggakan.

“Persatuan Pandu Puteri menyediakan ruang untuk membina sifat kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli. Anak-anak gadis berpeluang bergaul belajar berkomunikasi, meneroka dan seterusnya mengamalkan disiplin diri.

“Elemen-elemen ini sangat penting untuk melahirkan generasi yang boleh memimpin masyarakat kerana aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan menjadi pemangkin kepada anak-anak gadis untuk menjadi pemimpin yang berwibawa pada masa akan datang,” katanya semasa bertitah dalam Majlis Perasmian Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Johor Ke-30 Tahun 2019 di Hotel Katerina Batu Pahat semalam.

Ruang pameran untuk orang ramai

Ruang pameran untuk orang ramai

Dalam pada itu, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim telah berkenan menyampaikan pingat kepada 17 orang penerima iaitu Pingat Anugerah Pandu Puteri Remaja, Pingat Terima Kasih, Pingat Jasa Lama 15 Tahun dan Pingat Tangkai Padi.

Nor Ashilah Idris, 40, dari Klinik Kesihatan Batu Pahat turut sama menyertai program ini untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Kami memeriksa tekanan darah serta memeriksa tahap Body Mass Index (BMI) individu sama ada mencapai obesiti ataupun tidak,” ujarnya ketika ditemui di ruang pameran bersama agensi-agensi lain termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Nor Ashila Idris, wakil dari Klinik Kesihatan Batu Pahat turut serta dalam program ini dengan membuka ruang perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma

Nor Ashila Idris, wakil dari Klinik Kesihatan Batu Pahat turut serta dalam program ini dengan membuka ruang perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Johor, Sakdiah Ari, Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Daerah Batu Pahat, Shahrina Ismail dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abbas.

EM

Tinggalkan komen anda