Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

Merdeka@Komuniti SMK Tinggi Bukit Mertajam Semai Semangat Patriotik Warga Sekolah

By 25 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Halimah bt Abdul Ghani (Seberang Perai Tengah)

BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Semangat patriotik ataupun cintakan negara perlu disemai di dalam hati dan sanubari setiap warga negara tanpa mengira lapisan masyarakat. Menyedari akan hakikat itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah mengambil inisiatif menganjurkan program Merdeka@Komuniti SMK Tinggi Bukit Mertajam bersempena dengan Pelancaran Program Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Sekolah.

Ini merupakan salah satu usaha dalam menyemai semangat patriotik di kalangan pelajar-pelajar. Program yang mendapat sambutan daripada semua guru-guru serta pelajar itu telah berlangsung dalam suasana yang meriah dan ceria. Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan, antaranya nyanyian lagu-lagu patriotik, kuiz Kenegaraan, acara menandatangani kempen Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih, kempen kibarkan Jalur Gemilang dan lain-lain. Aktiviti-aktiviti ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar. Mereka kelihatan agak teruja dan gembira.

Menandatangani kempen bulan kemerdekaan dengan tema tahun ini Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih

Menandatangani kempen bulan kemerdekaan dengan tema tahun ini Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih

Menurut Haji Azhar Amanullah Haji Ariffin, PK Pentadbiran SMK Tinggi Bukit Mertajam, program seumpama ini sangat baik dan memberi manfaat di samping menanam semangat cintakan tanahair dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, Encik Zahari Zakaria yang hadir mewakili Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah menekankan bahawa kita semua sebagai warga negara perlu kembali berpegang teguh keda prinsip-prinsip Rukun Negara yang menerapkan nilai-nilai murni serta meningkatkan semangat patriotisme yang jitu agar semua dapat hidup bersatu padu tanpa sebarang sengketa.

Acara perasmian program oleh wakil Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah

Acara perasmian program oleh wakil Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah

Selain itu, beliau juga menyarankan agar Jalur Gemilang dipasang dan dikibar di segenap lokasi sama ada sekolah ataupun rumah bagi menzahirkan rasa cintakan negara terutama ketika musim sambutan Hari Kemerdekaan ini.

Sementara itu, adik Naveen Raj, pelajar tingkatan 5, melahirkan rasa gembira atas penganjuran program Merdeka@Komuniti Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam pada hari ini. Beliau juga turut menyatakan bahawa setiap rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama perlu sama-sama mempertahankan kemerdekaan negara yang kita kecapi hari ini hasil perjuangan generasi terdahulu.

“Perpaduan kaum amat penting bagi memastikan Malaysia terus melangkah maju ke hadapan. Sentimen perkauman merupakan isu yang perlu ditangani dengan sebaiknya dan sebagai rakyat, adalah menjadi tanggungjawab bersama dalam memastikan perpaduan terus mekar di negara ini,” ujar beliau.

-II-

Tinggalkan komen anda