Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Merdeka @ Komuniti Pupuk Semangat Cintakan Negara

By 19 September 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)

KEMAMAN, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Semangat cintakan negara amat penting bagi setiap insan yang bergelar rakyat Malaysia di negara ini. Pelbagai cara dizahirkan oleh masyarakat untuk menunjukkan semangat cintakan tanah air.
Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Iman, Kemaman, Muhammad Salahuddin Mohamad, 9, menzahirkan semangat cintakan negara dengan menyertai Pertandingan Basikal Berhias bertemakan kemerdekaan sempena program Merdeka @ Komuniti peringkat daerah Kemaman. Lebih menggembirakan, beliau menjadi johan pada pertandingan tersebut.

Muhammad Salahuddin Mohamad, 9

Muhammad Salahuddin Mohamad, 9

“Saya mengambil masa hampir seminggu menghias basikal ini mengikut tema pertandingan dan banyak duit dihabiskan untuk membeli bendera dan barang hiasan lain. Pelaburan ini nyata berbaloi kerana saya berjaya mengatasi 20 pesaing yang lain,” ujar Salahuddin.

 

Menurut Wan Kamariah Wan Jaafar, 40, “Program sebegini amat berguna kepada para pelajar dan ibubapa untuk sama-sama menyemai benih cintakan negara dengan cara masing-masing. Katanya, anaknya teruja untuk datang ke program yang julung kali diadakan oleh Jabatan Penerangan Kemaman dan Pejabat Pendidikan Kemaman dan menyifatkan kolaborasi antara agensi kerajaan ini memberi manfaat yang positif kepada pelajar sekolah dan ibu bapa yang hadir.”

Guru, Wan Kamariah Wan Jaafar, 40

Guru, Wan Kamariah Wan Jaafar, 40

 

Program Merdeka @ Komuniti diadakan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar supaya dapat menghayati makna kemerdekaan dan berusaha untuk mengekalkan kemerdekaan yang dikecapi ini. Program ini melibatkan para pelajar dari empat buah sekolah iaitu, SK Seri Iman, SK Kemaman, SK Bandar baharu dan SK Bukit Mentok. Pelbagai jenis aktiviti diadakan dalam program ini yang bertemakan Hari Kebangsaan antaranya Konvoi Merdeka, Pertandingan Basikal Berhias, Merdeka Hunt, Pertandingan Mewarna Merdeka, Nyanyian Lagu Patriotik, Pakaian Bertemakan Hari Kebangsaan dan pameran oleh agensi kerajaan.

 

Timbalan Pengerusi KETENGAH, Datuk Wan Marzuki Wan Sembuk, berkata “Program sebegini rupa adalah sangat baik dalam memupuk semangat cintakan negara seawal usia. Ibubapa yang hadir pada program ini juga boleh berkenalan dan beramah mesra antara satu sama lain, secara tidak langsung boleh mengeratkan silaturahim antara ibubapa.”

Timbalan Pengerusi KETENGAH, Datuk Seri Marzuki Wan Sembuk berucap merasmikan program

Timbalan Pengerusi KETENGAH, Datuk Seri Marzuki Wan Sembuk berucap merasmikan program

 

Wan Marzuki menambah, “Perbezaan fahaman politik kita ketepikan, apa yang penting keharmonian dalam negara perlu dikekalkan sehingga sampai bila-bila. Insyallah, 62 tahun kita merdeka kita akan terus cemerlang, gemilang di peringkat global dengan memastikan pelajar kita berilmu dan mempunyai jati diri yang tinggi untuk menghadapi rintangan yang di masa akan datang.” katanya ketika merasmikan program tersebut di padang Astaka Chukai, Kemaman.

-II-

Tinggalkan komen anda