Laporan/foto: Mahadi Mustafa/ Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 19 Sep (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Dungun membuat kelainan dengan mengundang Pusat Koreksional Dungun bagi menjayakan Program Wacana Kemerdekaan Peringkat Sekolah menegah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah Dungun. Program yang dihadiri hampir 400 pelajar ini diselitkan dengan perkongsian ‘Mesej Dari Penjara’ dalam mengupas topik Hargailah Kebebasan.
Pegawai Penjara Pusat Koreksional Dungun, Mokhtar Muhamad Nor berkata “Hidup di penjara bukanlah sesuatu yang istimewa. Generasi hari ini perlu bijak mengatur langkah agar tidak tergelincir dalam membuat pilihan hidup. Nikmat kemerdekaan yang dikecapi perlu dihargai dengan membuat sesuatu yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.”
Justeru itu, masyarakat khususnya golongan pelajar dinasihati untuk mengisi dan menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini dengan tidak melakukan kesalahan yang membawa kepada perlakuan jenayah. Katanya lagi, perlakuan jenayah bukan sahaja merugikan diri sendiri, malah memberi kerugian kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Terdahulu, Pegawai Penerangan Daerah Dungun, Rusmiza Anuar dalam ucapannya melahirkan harapan agar Program Wacana Kemerdekaan yang dianjurkan ini dapat menyuntik keinsafan dan iktibar kepada pelajar-pelajar untuk lebih menghargai nikmat kebebasan, keamanan dan kemakmuran yang diwarisi dengan pengukuhan jati diri agar tidak terjebak dengan sebarang perlakuan yang boleh merugikan diri, bangsa dan agama.
“Sayangi Malaysiaku Malaysia Bersih’’ bukan sekadar tema tetapi kita perlu hayati jauh ke dalam sanubari, menyemai kasih sayang kepada tanah air yang bukan sekadar retorik tetapi komitmen serta penghayatan yang mendalam dalam aspek kehidupan seharian berlandaskan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Untuk menjadikan Malaysia Bersih, kita memerlukan warganegara yang berjiwa bersih serta mempunyai jati diri yang kukuh dan tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan imej negara’ ujarnya.
Menurut guru SMK Tengku Intan Zaharah Wan Zalelawati Wan Othman, 35, program ini sangat bermanfaat dalam memberi kesedaran dan mendidik pelajar agar menjauhi jenayah dan menjadi warganegara yang merdeka. Sebagai warganegara kita perlu kekalkan perpaduan dengan menghargai serta mengingat kembali pengorbanan perjuang-pejuang terdahulu yang banyak berjasa dalam mempertahankan tanah air tercinta ini’ katanya mengakhiri perbualan.
-II-