Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

Pakar Kardotorasik Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang

By 1 September 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/ foto: Nurazreen Bt Abd Rahman/ Haji Zanizal Bin Zamani (Seberang Perai Utara)

BERTAM, 1 Sept (Malaysiaaktif) – Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Pembedahan Kardotorasik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Basheee Ahmed Bin Abdul Kareem, dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi tahun 1441H/2019M.

Anak kelahiran Pulau Pinang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja dan Pengurusan Masjid York, Pulau Pinang telah menerima hadiah berbentuk wang tunai berjumlah RM8,000, kepingan emas, medal dan juga sijil penghargaan daripada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas pada Program Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang 1441H di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas.

Pada majlis sama, Tuan Yang Terutama Tun turut berkenan menyampaikan trofi dan hadiah kepada Tokoh Keluarga Mithali kepada pasangan suami isteri, Ahmad  Yusoff Bin Jaafar, 62 tahun dan pasangan Normah Binti Ahmad dan Anugerah Lima Masjid Terbaik iaitu Masjid Jamek Sungai Gelugor, Daerah Timur Laut, Masjid Jamek Al-Jamiul Bahawi, Daerah Seberang Perai Utara, Masjid Jamek Shaik Eusoff, Daerah Timur Laut, Masjid Jamek Al-Abidin, Pinang Tunggal Daerah Seberang Perai Utara dan Masjid Jamek Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah.

Anugerah Tokoh Keluarga Mithali kepada pasangan suami isteri, Ahmad  Yusoff Bin Jaafar, 62 dan pasangan Normah Binti Ahmad

Anugerah Tokoh Keluarga Mithali kepada pasangan suami isteri, Ahmad  Yusoff Bin Jaafar, 62 dan pasangan Normah Binti Ahmad

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Farizan Bin Darus, Yang di-pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Dato’ Abdul Malik bin Abdul Kassim, dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Zulkifli bin Long.

Terdahulu dalam ucapan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang , Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman, beliau berkata selaras dengan tema Maal Hijrah tahun ini iaitu ” Negara Rahmah, Ummah Sejahtera”, kerajaan negeri Pulau Pinang berhasrat untuk membangunkan pendidikan KAFA Menengah di seluruh negeri ini. Sebagai permulaan projek perintis ini, tiga buah masjid yang akan melaksanakannya adalah Masjid Al-Taqwa Taman Bertam Indah, Masjid Al-Huda Lahar Tiang dan Masjid Jamek Simpang Empat Permatang Buloh yang kesemuanya terletak di Daerah Seberang Perai Utara.

Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang 1441H /2019 M telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman

Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang 1441H /2019 M telah dirasmikan oleh Tun Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman

Beliau berkata “Melalui projek perintis ini anak-anak remaja yang berumur 13 tahun sehingga 18 tahun akan mendapat peluang untuk mempelajari ilmu-ilmu berkenaan Fardu Ain selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan generasi khaira ummah”.

Pada majlis yang sama, Skim Kafalah Mahabbah Zakat Pulau Pinang turut dilancarkan. Melalui skim ini para pembayar zakat dan golongan asnaf yang berhak menerima zakat di negeri Pulau Pinang akan dibayar RM 1,000.00 jika sekiranya terdapat kematian pada tahun semasa. Beliau berkata”Skim ini juga merupakan salah satu galakan  kepada golongan yang menerima zakat untuk berusaha dengan lebih gigih untuk menjadi golongan yang membayar zakat di masa akan datang.”

-II-

Tinggalkan komen anda