Skip to main content
Berita UtaraPulau Pinang

‘Hands On Di Bengkel’ Bantu Wanita Belajar Cara Periksa Kereta

By 11 Disember 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Seberang Perai Tengah)

BUKIT MERTAJAM, 11 Dis (Malaysiaaktif) – Program anjuran Jabatan Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Bukit Mertajam iaitu Heels and Wheels Program 2019 dengan kerjasama SLC Auto Academy, Jalan Sungai Rambai, Bukit Mertajam telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Program khas untuk wanita ini telah berjaya mengumpulkan 50 orang peserta yang terdiri daripada barisan ahli jawatankuasa JPWK, sukarelawan dan komuniti setempat dari kawasan Padang Lalang, Berapit dan Machang Bubuk.

Peserta telah dibahagikan kepada lima kumpulan bersama seorang fasilitator untuk setiap kumpulan yang berpengalaman luas dalam bidang mekanik. Selain bekerja di SLC Auto Academy sebagai tenaga pengajar, para fasilitator tersebut juga mempunyai bengkel sendiri sebagai sumber pendapatan tambahan mereka.

Sesi penerangan oleh Syafiq, tenaga pengajar SLC Auto Academy kepada peserta

Sesi penerangan oleh Syafiq, tenaga pengajar SLC Auto Academy kepada peserta

Melalui program ini, para wanita telah didedahkan dengan lima sesi praktikal di mana peserta dapat belajar mengenai penjagaan kereta seperti cara menukar tayar kereta, minyak enjin, minyak brek dan mengenali lambang-lambang yang ada di paparan dashboard kereta. Kebanyakan peserta kurang mahir dalam bidang ini dan pelbagai soalan telah dilontarkan semasa sesi pembelajaran agar lebih jelas dan tiada isu salah faham atau salah maklumat.

Sesi praktikal untuk tukar  tayar kenderaan

Sesi praktikal untuk menukar tayar kenderaan

Menurut Pengasas SLC Auto Academy, Ooi Lye Oo, ini adalah julung-julung kalinya SLC Auto Academy menerima peserta yang terdiri daripada kaum wanita sahaja. Beliau amat berbangga dan berharap para peserta dapat mempelajari ilmu baru ini dan mempraktikkannya apabila perlu.

“Wanita harus mengejar peluang yang ada. Bukanlah satu yang merugikan untuk belajar aktiviti yang lebih sesuai untuk lelaki. Malahan sesuatu yang amat membanggakan dan boleh digunapakai pada bila-bila masa terutamanya waktu kecemasan. Nilai tambah seperti inilah yang perlu ada pada setiap wanita,” kata Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Padang Lalang, Chong Eng semasa Majlis Penutup Heels & Wheels Program 2019.

Ucapan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama selain Islam Negeri Pulau Pinang, Chong Eng

Ucapan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama selain Islam Negeri Pulau Pinang, Chong Eng

Turut hadir, ADUN Berapit, Heng Lee Lee yang juga teruja dengan sesi praktikal yang dilalui oleh para peserta program. Beliau turut berharap program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

-II-

Tinggalkan komen anda