Skip to main content
Berita TengahHomePutrajaya

PTPTN Agih Dividen Empat Peratus, Catat Kutipan Deposit Tertinggi Bagi 2019 – Pengerusi PTPTN

By 6 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan dividen empat peratus untuk dua Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata PTPTN turut mengagihkan dividen tambahan sebanyak satu peratus lagi bagi mereka yang mempunyai akaun SSPN bermula sebelum 2017 dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Ia bagi menggalakkan penabungan jangka panjang dan berkualiti.

“Walaupun keadaan ekonomi dunia agak mencabar. Alhamdulillah, kami berjaya memberikan dividen empat peratus kepada para pendeposit kami,” katanya dalam kemas kini akaun Facebook rasminya semalam.

Terdahulu, beliau mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata PTPTN berjaya mencatatkan kutipan deposit SSPN sebanyak RM1.37 bilion bagi tahun 2019 sekali gus merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah kutipan deposit skim tersebut.

Jumlah itu, katanya, merupakan peningkatan sebanyak RM240 juta atau 21.24 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, PTPTN juga berjaya melonjakkan keuntungan SSPN menjadi RM205.27 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM 41.73 juta atau 25.52 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Saya amat bersyukur kerana hasil usaha gigih dan kecekapan yang ditunjukkan oleh pasukan saya di PTPTN, kami mencatat dua lagi rekod baharu.

“Kedua-dua rekod baharu ini adalah pencapaian tertinggi dalam sejarah wujudnya PTPTN,” katanya.

Wan Saiful berkata kejayaan itu juga membuktikan kesungguhan pasukan untuk mengubah PTPTN menjadi lebih baik dan juga memastikan agenda Kerajaan Pakatan Harapan untuk mencapai kemakmuran yang dikongsi bersama menjadi kenyataan.

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda