Skip to main content
Berita TengahHomePutrajaya

Pulau Pinang Salur Peruntukan RM20,000 Kepada FAMA

By 10 Februari 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 10 Feb  (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan peruntukan RM20,000 kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, untuk menjalankan program kendaliannya terutama My Best Buy (MBB).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Dr Afif Bahardin berkata sejak 2016 sehingga 31 Dis 2019, nilai jualan MBB di Pulau Pinang mencecah RM2.8 juta melibatkan 1,471 usahawan dan 174,750 pengunjung.

“Saya telah meluluskan RM20,000 kepada FAMA Pulau Pinang untuk mengadakan program ini di 20 lokasi di seluruh Pulau Pinang, supaya kita dapat sampai kepada lebih ramai masyarakat. Golongan sasar yang kita tumpukan adalah keluarga B40,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program MBB 2.0 di padang bola Taman Pauh, di sini semalam.

Beliau berkata program MBB membantu masyarakat untuk mendapatkan bekalan mentah yang segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan ayam dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Sementara itu, Pengarah FAMA Pulau Pinang Habibah Sulaiman yang turut hadir pada program itu berkata peruntukan RM20,000 berkenaan akan disalurkan untuk menggerakkan 20 program MBB 2.0 di seluruh negeri ini.

“Untuk fasa pertama, kita rancang guna peruntukan ini untuk 20 program sebelum tiba Hari Raya Aidilfitri pada Mei akan datang, supaya penjimatan maksimum boleh dinikmati ramai orang terutamanya sebagai persiapan hari raya,” katanya.

– BERNAMA

Tinggalkan komen anda