Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Warisan Seni Keris Terengganu

By 4 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Industri kraf dalam penghasilan keris adalah antara salah satu seni warisan Melayu Terengganu  yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Meskipun peranan keris telah beralih ke arah kepada perhiasan berbanding peranan asalnya sebagai senjata, namun ia masih mempunyai peminatnya yang tersendiri dalam menghargai keris sebagai warisan bangsa.

Minat yang mendalam serta ilmu pembuatan keris diwarisi daripada ayah dan datuk menjadikan pengusaha keris, Zulkifli Yusoff, 54, berjaya mengekalkan perusahaan ini sehingga kini di Kampung Ladang Titian, di sini.

Zulkifli Yusoff, 54 pengusaha keris di Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu.

Zulkifli Yusoff, 54, pengusaha keris di Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu.

Menurut Zulkifli, beliau meneruskan legasi peninggalan keluarga yang berminat dan mencintai kesenian warisan melayu. Beliau juga mempunyai bengkel yang terletak berhampiran kediamannya dan menjadikan kemahirannya itu sebagai kerjaya sepenuh masa yang menjadi punca rezekinya sekeluarga.

“Waktu operasi bengkel adalah pada pukul 8.00 pagi sehingga petang dan dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat. Saya juga melatih pekerja seramai empat orang di bawah bimbingan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM),” katanya.

Antara koleksi keris yang dihasilkan oleh Zulkifli.

Antara koleksi keris yang dihasilkan oleh Zulkifli.

Tambah Zulkifli, pelanggannya terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan negara yang dibawa melalui pemandu pelancong untuk menempah sarung keris dari pelbagai jenis dan saiz.  Antara keris buatannya ialah keris bugis, keris sundang, keris badik, keris tanjung, keris anak alang dan lain-lain.

“Kayu yang digunakan bagi membuat sarung keris ialah kayu kemuning, kayu sena dan kayu rebang. Harga bagi sarung dan hulu keris yang dihasilkan berbeza mengikut saiz dan motif ukiran yang dikehendaki pelanggan sekitar harga RM 50 hingga RM400. Manakala bagi sarung dan hulu keris antik pula harga sekitar RM700 hingga RM800 dan boleh mencecah hingga RM 5,000, ujarnya lagi.

Hulu keris yang dihasilkan oleh Zulkifli.

Hulu keris yang dihasilkan oleh Zulkifli.

Zulkifli berkata, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) Terengganu memainkan peranan penting dalam membantunya mengembangkan perniagaan serta melaksanakan program pemuliharaan seni kraf warisan Terengganu.

Beliau mengharapkan juga supaya pihak kerajaan dapat membantu beliau dalam usaha memajukan lagi industri kraf tersebut serta menyeru agar ramai lagi peminat-peminat keris ini dapat menceburi bidang ini agar warisan tradisional Melayu ini dapat dipertahankan sampai bila-bila.

-ii-

Tinggalkan komen anda