
Laporan/foto: Nurazreen Abdul Rahman/Salawati Mat Shariff (Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Tepat jam 12.00 tengah malam tadi, sekatan jalan raya (SJR) di susur masuk Plaza Tol Bertam secara rasminya telah ditutup berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan rentas negeri yang telah diberi kebenaran mulai 10 Jun sehingga 31 Ogos.
Menurut ACP Noorzainy Mohd Noor, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, walaupun tiada lagi sekatan jalan raya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menubuhkan pasukan jawatankuasa pematuhan bagi memantau semua premis dan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sebanyak 6 SJR yang didirikan melibatkan kekuatan anggota seramai 800 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan antaranya Polis, ATM, RELA, Jabatan Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang bertungkus lumus memerangi wabak COVID-19.
“Sepanjang operasi itu juga, 585 individu dikompaun manakala 558 ditahan atas pelbagai kesalahan mengingkari PKPB di Daerah Seberang Perai Utara,” katanya ketika ditemui bersama media selepas mengadakan tinjauan hari terakhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Plaza Tol Bertam, di sini semalam.
Turut berada di lokasi ialah Pegawai Memerintah Batalion 19 RAMD, Leftenan Kolonel Azmi Abdul Rahim.
-ii-