Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Tahun 2021 Kemuncak Pelaksanaan Pelan Strategik Pertanian Terengganu

By 10 November 2020Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Norhafizah Abd Rahim/Shuhaimi Ahmad (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 10 Nov (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Terengganu komited menjayakan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019- 2023 dalam usaha merealisasikan negeri ini sebagai pengeluar makanan utama negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata tahun 2021 merupakan kemuncak dalam menjayakan pelan induk, Pelan Strategik Pertanian Terengganu dan menjangkakan berlaku peningkatan peruntukan sektor pertanian dalam pembentangan Belanjawan Negeri pada 23 November ini oleh Menteri Besar Terengganu.

“Tahun hadapan adalah Tahun Pertanian Terengganu dan tahun kemuncak pelaksanaan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 yang mana dijangkakan keperluan kepada belanjawan dan peruntukan tentulah pada tahap yang maksima untuk mencapai fokus utama dan halatuju yang telah ditetapkan dalam menjayakan enam teras strategik pelan tersebut.

“Saya sangat yakin jumlah peruntukan pertanian akan meningkat beberapa kali ganda kerana sektor pertanian Terengganu telah dibuktikan sebagai salah satu penyumbang kepada peningkatan pembangunan ekonomi negeri Terengganu di samping sektor perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Program Influencer@JaPen di Studio Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini semalam.

Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim menjadi tetamu program Influncer @ JaPen di Studio Urus Setia Penerangan Darul Iman, Kuala Terengganu.

Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim menjadi tetamu program Influncer@JaPen di Studio Urus Setia Penerangan Darul Iman, Kuala Terengganu.

Dr. Azman berkata, keberkesanan sektor pertanian dalam membantu peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri telah terbukti melalui laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2019 dalam bab sosio ekonomi Negeri Terengganu dilaporkan berlaku sedikit peningkatan kepada 3.3 peratus berbanding 2.8 peratus pada tahun 2018 dan didorong oleh dua sektor iaitu pertanian dan perkhidmatan.

“Sektor pertanian sendiri menunjukkan peningkatan daripada –2.5 peratus pada 2018 kepada 6 peratus pada 2019. Meskipun kejayaan bukanlah besar, namun kita berjaya naik kepada angka positif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa gembira kerana ramai golongan muda mula melibatkan diri dengan sektor pertanian dan tidak lagi melihat pertanian sebagai pekerjaan untuk golongan gagal dalam akademik, sebaliknya menjadi kerjaya yang boleh memberi keuntungan lumayan.

“Saya dapati majoriti yang memohon skim bantuan modal tani adalah dari kalangan orang muda dan saya berasa optimis dengan semangat orang muda menjayakan sesuatu, mereka buat dengan ilmu, kesungguhan, tenaga dan semangat serta mereka ada keinginan untuk maju ke hadapan,” katanya.

Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr.Azman Ibrahim.

Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr.Azman Ibrahim.

Mengulas mengenai insentif kepada petani, penternak dan nelayan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berlangsung selama empat minggu, beliau memberitahu setakat ini, kerajaan negeri masih belum memutuskan penyaluran peruntukan kepada golongan tersebut kerana pengumuman PKPB disifatkan agak mengejut untuk negeri ini.

“Ruang dalam PKPB ini tidak terlalu ketat sebagaimana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu. Sektor ekonomi masih boleh beroperasi seperti biasa dan terdapat sedikit had masa. Walaupun begitu, kerajaan negeri sentiasa bersama rakyat dalam menangani apa sahaja isu-isu yang timbul dan tentu sekali akan ada peruntukan untuk bantu menangani isu yang timbul,” katanya.

-II

Tinggalkan komen anda