Skip to main content
Berita SelatanMANegeri Sembilan

IoW Jempol Tingkat Kefahaman Masyarakat untuk Vaksin

By 28 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Zuraida MD Nor Aidi/Mohd Naim Mohd Shaari (Jempol)

JEMPOL, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Program Info on Wheels (IoW) dilihat satu medium terbaik dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan jelas terus kepada masyarakat terutamanya berkaitan pengambilan vaksin yang telah bermula kini.

Ketua Polis Daerah Jempol Supritenden Hoo Chang Hook, yang turut sama menyertai program IoW berkata pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol telah bersiap sedia dan menyusun petugas bagi membantu Pejabat Kesihatan Daerah mendapatkan bekalan vaksin untuk dibawa ke daerah ini.

“Kita semua sedia maklum mengenai tiga fasa suntikan vaksin yang akan diberi dan bekalan vaksin itu perlu diambil di pusat pembekalan vaksin dan segala persiapan telah dilakukan untuk mengiringi petugas kesihatan bagi mengambil vaksin dan memastikan vaksin sampai ke tempat yang telah ditetapkan dalam tempoh masa yang diberi dengan selamat,” katanya yang ditemui sempena program tersebut di sebuah pasar mini, di sini baru-baru ini.

Menurut penduduk setempat Saharum Pengon, 46, beliau telah bersedia untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 kerana yakin dengan keberkesanan vaksin tersebut disamping berharap ianya akan memulihkan keadaan di negara ini.

“Masih ramai lagi yang tidak mengetahui bagaimana cara dan kaedah untuk mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin dan dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak penerangan, kami jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan membantu penduduk yang menghadapi masalah untuk mendaftar nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Pejabat Kesihatan Jempol, memaklumkan vaksin COVID-19 akan ditempatkan di lima buah klinik kesihatan di daerah ini iaitu di Klinik Kesihatan Bahau, Klinik Kesihatan Palong 4,5,6, Klinik Kesihatan Palong 9, Klinik Kesihatan Sg Lui dan Klinik Kesihatan Bandar Seri Jempol.

“Proses pemberian vaksin bagi fasa 1 akan bermula awal Mac ini dan diberikan kepada petugas barisan hadapan dibawah Kementerian Kesihatan dan berikutnya akan diberi kepada petugas barisan hadapan bukan dibawah Kementerian Kesihatan seperti pasukan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan agensi-agensi lain yang termasuk dalam jawatankuasa keselamatan dan pengurusan bencana daerah,” katanya.

 

 

-FF

Tinggalkan komen anda