Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 8 April (Malaysiaaktif) – Nelayan di Kampung Geliga terima berita gembira apabila pembinaan jeti nelayan di kampung tersebut siap pada 13 November tahun lalu dengan peruntukan sebanyak RM100 ribu daripada pihak kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim, berkata projek jeti ini telah bermula pada 27 September dan telah siap dibangunkan dalam tempoh masa yang singkat.
“Segala rintihan dan rungutan dari para nelayan di Kampung Geliga telah didengari oleh kerajaan dan tindakan yang begitu drastik telah dilaksanakan kerana projek itu siap sepenuhnya dalam masa dua bulan sahaja,” kata Dr Azman ketika berucap dalam majlis Perasmian Jeti Nelayan Kampung Geliga, di sini semalam.
Katanya, pembinaan jeti tambatan ini adalah kerana permohonan daripada nelayan setempat memandangkan nelayan mengalami kesukaran untuk menambat vesel mereka terutama ketika arus deras terutamanya pada waktu hujan lebat dan air pasang tinggi.
“Tambatan vesel ini digunakan untuk nelayan meletakkan vesel selepas memunggah hasil tangkapan di jeti-jeti pendaratan ikan.
“Dengan adanya tambatan ini juga, pihak nelayan dapat menambat vesel dan mengelakkan vesel dibawa arus yang kuat,” katanya.
Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman, Aziz A. Razak, 58, berkata para nelayan di Kuala Kemaman bersyukur dan berterima kasih kerana kecaknaan kerajaan dengan nasib dan kesusahan nelayan di Kemaman.
“Saya gembira kerana pembinaan jeti nelayan Kampung Geliga ini siap dalam tempoh dua bulan sahaja dan perkara ini membakar semangat para nelayan di sini untuk bekerja dengan lebih rajin lagi,” kata seorang peniaga, Abdul Wafiy Sohaimi, 30 dari Kuala Kemaman.
Sementara itu, seorang kakitangan awam, Husnizan Deraman, 40 turut berbangga dengan para nelayan di daerah ini dan berterima kasih kepada semua nelayan yang terus tabah dan gagah meredah lautan demi mencari kelangsungan hidup dan membekalkan hasil laut buat penduduk di sini.
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Terengganu, Mastam Nodo, Penyelia Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai, Megat Suhaimi Megat Idrus dan wakil ketua jabatan.
-ii-