Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 12 April (Malaysiaaktif) – Lebih 100 orang warga Felda Kepis, mendaftar untuk mendapatkan suntikan COVID-19 di Dewan Semai Bakti kelmarin.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Kuala Pilah Shaharuddin Daud@Abu Hassan, beliau merasa teruja dengan sambutan yang diberikan oleh warga Felda Kepis ini.
“Pihak kami bekerjasama dengan Pusat Internet Komuniti (PIK) di sini untuk membantu penduduk terutama warga emas yang sukar untuk membuat pendaftaran di MySejahtera.
“Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah mengambil inisiatif membantu golongan ini dengan membuka kaunter pendaftaran COVID-19 dalam Program Komuniti@PMR dan hasilnya ramai yang datang serta menyambut baik usaha dari Pejabat Penerangan ini,” ujarnya ketika ditemui, di sini kelmarin.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Shahnon Mohamad, memberitahu penganjuran program ini juga mengambil peluang untuk mendapatkan kerjasama semua yang hadir untuk membantu di dalam proses meningkatkan kadar bilangan pendaftaran orang ramai bagi mendapatkan suntikan pencegahan virus COVID-19 dalam program Pelan COVID-19 Imunisasi Kebangsaan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini.
“Pihak Pejabat Penerangan juga membawakan penceramah bagi berkongsi dan berinteraksi mengenai dua topik penting dan sangat relevan dengan suasana pada masa ini iaitu, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dari Klinik Kesihatan Juasseh dan Siber Advokasi oleh Pusat Internet Komuniti Felda Kepis,” katanya ketika berucap dalam program berkenaan.
Dalam pada itu, menurut Rabiah Sawon, salah seorang penduduk di sini memberitahu beliau bersedia untuk menerima suntikan vaksin ini pada bila-bila masa sahaja.
“Usaha kerajaan untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 ini harus disahut dengan segera mendaftar dan walaupun tidak mahir menggunakan applikasi MySejahtera, pertemuan bersemuka seperti yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan amat memudahkan kami,” katanya.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Senaling Datuk Adnan Abu Hassan.
-FF