Laporan/foto : Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Sebanyak tiga puluh peratus daripada 625 jumlah keseluruhan penduduk asli masih belum divaksin terdiri daripada golongan muda kerana terpengaruh dengan berita palsu tentang vaksin COVID-19.
Kenyataan tersebut dibuat oleh Batin Orang Asli Sungai Pergam, Roslan Semail, 45, yang turut merayu mereka supaya segera mengambil vaksin.
“Semalam, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman ada datang ke kampung kami untuk memberi vaksin kepada mereka yang belum divaksin tetapi amat malang sekali kerana hanya dua orang tampil untuk mendapatkan vaksin tersebut,” katanya.
Tambah Roslan, pelbagai penjelasan telah diberikan oleh agensi kerajaan termasuk Pejabat Penerangan Daerah Kemaman tentang kebaikan vaksin sebelum ini dan menafikan berita palsu tentang vaksin, namun golongan ini masih mempercayai berita palsu yang dibaca di media sosial seperti Facebook dan Instagram.
Dua orang penerima vaksin yang ditemui iaitu Mohd Rizuan Ali, 25 dan Jefri Zain Tilam, 24 juga berharap rakan-rakan mereka belum mendapatkan vaksin segera berbuat demikian.
“Vaksin ini bukan sekadar dapat melindungi kita daripada dijangkiti Virus COVID-19 tetapi dalam masa yang sama dapat melindungi kaum keluarga daripada dijangkiti,” kata Rizuan ketika diminta mengulas mengenai vaksin.
Jefri juga sependapat dengan Rizuan dan memeberitahu dia berpesan pada sahabat dan kaum keluarga agar mendapatkan vaksin secepat mungkin.
Dalam pada itu, dia sempat berterima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman kerana sudi ke kampungnya untuk memberikan khidmat suntikan vaksin.
Roslan ditemui dalam Program Pembudayaan Norma Baharu Masyarakat Orang Asli bersama Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Terengganu, semalam
Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi Negeri Kelantan dan Terengganu, Shafie Abas.