Laporan/foto: Nor Emylia Lot / Tengku Saipulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 17 Nov (Malaysiaaktif) – Meneruskan misi membantu usahawan kecil dan sederhana (IKS) yang terkesan dengan impak penularan COVID-19, pengurusan Koperasi Homestay Teluk Ketapang (HTK) memberi pelbagai bantuan yang dirasakan perlu untuk golongan berkenaan.
Sebanyak RM240 diberikan kepada setiap 45 isi rumah yang telah dipilih bagi membeli barangan keperluan harian adalah sumbangan Yayasan MyKasih daripada program MEKAR, Persatuan Belia Teluk Ketapang (Mayc).
Sementara itu, Pengerusi Homestay Negeri Terengganu, Md Azmi A. Aziz, berkata inisiatif ini melalui Program Rukun Tetangga (RT) Care bagi memastikan usahawan kecil dan sederhana dapat dibantu dengan sewajarnya.
“Pendapatan usahawan kecil ini sedikit terjejas, kesan daripada penularan COVID-19 sehingga ke semalam.
“Penguatkuasaan penutupan kedai sebelum ini, menambahkan beban kewangan mereka untuk meneruskan kehidupan seharian,” katanya selepas majlis pelancaran di sebuah pusat membeli-belah di Dataran Austin, di sini, baru-baru ini.
“Bantuan ini diharapkan dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung dan dalam masa yang sama, bantuan-bantuan lain yang bersesuaian telah kita salurkan sebelum ini,” katanya.
Menurut penerima bantuan, Rohana Ali, 58, beliau sangat bersyukur apabila terpilih untuk menerima bantuan berupa barangan keperluan harian berkenaan.
“Usaha murni ini dilihat mampu memberikan semangat kepada usahawan kecil seperti kami untuk terus bertahan disaat berdepan dengan krisis ekonomi sepanjang pandemik ini,” katanya dengan nada gembira.
Bukan itu sahaja, bagi Roslina Ramli, 48, pemberian sumbangan berkenaan membolehkan dia sekeluarga membeli barangan keperluan dapur seperti beras, minyak masak, bawang merah, bawang putih, cili, gula, bihun, teh, biskut, roti, buah-buahan dan lain-lain.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kerana sudi menyumbangkan barangan berkenaan, sekaligus meringan sedikit beban kami sekeluarga pada bulan ini,” katanya mengakhiri perbualan.