Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Kuala Terengganu) Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 20 Dis (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim telah mengadakan lawatan ke Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Parlimen Kuala Terengganu di pekarangan hadapan Muzium Negeri Terengganu, di sini, baru-baru ini.
Ahmad Amzad berkata program yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah menganjurkan PJKM di seluruh negara melibatkan 222 kawasan parlimen bertujuan mengurangkan kos sara hidup dan beban yang ditanggung oleh rakyat.
Ujarnya, penduduk di Daerah Kuala Terengganu juga tidak terkecuali berhadapan kenaikan harga barang dan karnival jualan ini membolehkan masyarakat di daerah ini mendapatkan barangan dengan harga yang lebih murah di mana karnival jualan ini pelbagai jenis barang keperluan pengguna antaranya beras, minyak masak, telur, sayuran, ikan segar dan ayam dijual dengan potongan harga 20 peratus.
“Program ini juga merupakan inisiatif jangka pendek sebagai menyokong pelbagai langkah-langkah serta tindakan jangka panjang selain menangani impak kenaikan harga barang asas.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KPDNHEP, agensi serta penglibatan pihak swasta yang terlibat dalam mengaturkan karnival jualan PJKM yang diadakan pada kali ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu meluangkan masa kira-kira sejam meninjau jualan pada program tersebut selain sempat beramah mesra dengan pengunjung yang mengambil peluang membeli barangan harian.
Rata-rata pengunjung yang hadir menzahirkan rasa syukur dengan inisiatif pihak kerajaan dalam membantu mengurangkan beban rakyat.
Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Negeri Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, Pengarah Suruhunjaya Syarikat Malaysia (SSM) Terengganu, Abdul Razak Isa, Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah, Pengarah FAMA Terengganu, Che Ghani Che Wan, serta Pengurus Kanan Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) Rosli Sarah.