
Laporan/foto: Muhamad Nawawi Kasa/Bashsyar Abdullah (Kedah)
ALOR SETAR, 11 Dis (MalaysiaAktif) – Satu masa dahulu, rumah masyarakat Melayu terbina daripada pelbagai bentuk dan gaya seni yang mencerminkan identiti setiap negeri. Namun, di sebalik kepelbagaian itu, tersirat satu keunikan yang mendalam iaitu falsafah seni bina yang menggabungkan unsur matematik, teknologi, sains, dan budaya, berlandaskan nilai kehidupan masyarakat Melayu yang halus dan beradab.
Rumah Melayu bukan sekadar tempat berteduh, tetapi sebuah manifestasi jiwa dan akal budi bangsa. Setiap pembinaan dilakukan dengan penuh tertib, berlandaskan prinsip kesopanan, keseimbangan hubungan manusia dengan alam dan Pencipta, serta pembahagian ruang yang melambangkan adat, hierarki keluarga dan penghormatan terhadap tetamu.
Di sesetengah struktur rumah, falsafahnya turut diibaratkan seperti anggota tubuh manusia di mana setiap bahagian mempunyai fungsi tersendiri yang saling melengkapi dan menjaga keseimbangan keseluruhan rumah.
Antara bahagian yang penuh simbolik ialah dapur, ruang yang menjadi nadi rumah Melayu. Di sinilah kaum ibu menyediakan hidangan dan menjaga tradisi masakan warisan turun-temurun. Dapur juga menjadi lambang kasih, pengorbanan, dan keringat wanita Melayu yang berperanan penting dalam membentuk institusi keluarga.
Pelantar yang menghubungkan dapur dengan Rumah Ibu (bahagian utama, yang paling penting, dan sering kali yang terbesar dalam struktur binaan rumah tersebut) pula menjadi laluan utama wanita ketika kenduri kendara yang menggambarkan sistem sosial dan adab yang diatur dengan tertib dan penuh makna. Di Rumah Ibu inilah bilik-bilik dibina untuk melindungi privasi ahli keluarga.
Sementara itu, anjung rumah menjadi lokasi utama untuk majlis dan sambutan, tempat pertemuan masyarakat yang meraikan adat. Di beranda (serambi) pula, para bapa dan orang tua sering bermusyawarah, berbincang tentang urusan kampung dan hal kehidupan sebuah ruang yang menghidupkan nilai permuafakatan dan kebijaksanaan Melayu.
Apabila direnung semula, jelaslah bahawa rumah Melayu bukan sekadar reka bentuk seni bina, tetapi satu gambaran falsafah hidup dan ketertiban sosial. Segala susun atur dan bentuknya dibina berasaskan niat dan nilai mencerminkan akhlak, budi, dan penghormatan terhadap fitrah kehidupan.
Falsafah rumah tradisional Melayu adalah kisah manusia dan alam yang berpadu, kisah hubungan makhluk dengan Tuhan yang diterjemahkan melalui struktur, bentuk, dan susun atur. Ia bukan hanya tempat tinggal, tetapi simbol ketenangan, keharmonian, dan kebijaksanaan Melayu yang kekal abadi.
-FN







