Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Asnaf dan Ibu Tunggal Terima Sumbangan Jejak Prihatin Ambang Ramadan

By 12 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zulkifli Othman/Mahadi Mustaffa (Dungun)

DUNGUN, 12 April (Malaysiaaktif)– Kelab Motor Terengganu, Kelab Kebajikan Kembara Prihatin Terengganu bersama-sama Jawatankuasa Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah menyampaikan sumbangan kepada 180 orang yang memerlukan bersempena Program Jejak Prihatin Ambang Ramadan, baru-baru ini.

Pegawai Daerah Dungun merangkap Pengerusi Jawatankuasa Masjid Tengku Intan Zaharah Anuar Awang, berkata sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sedikit perbelanjaan golongan kurang berkemampuan sempena bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.

“Program ini merupakan acara tahunan masjid tersebut namun sumbangan adalah daripada orang perseorangan dan syarikat yang berbeza setiap tahun.

Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima sumbangan.

Anuar (kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima sumbangan.

“Inisiatif ini perlu menjadi contoh kepada pihak lain untuk menganjurkan program kebajikan demi membantu golongan susah,” katanya yang ditemui sempena program di Pekarangan Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, di sini.

Sumbangan berbentuk barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung gandum, kopi dan teh diserahkan terus kepada penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan ibu tunggal.

Dalam pada itu, Anuar turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang dan mereka yang sudi membantu dan menjayakan misi meringankan beban asnaf dan golongan kurang berkemampuan.

Seorang penerima bantuan Engku Azizah Abd.Rahman, 75, bersyukur dengan sumbangan yang diterima.

“Saya berterima kasih atas sumbangan yang diterima dan ia dapat meringankan perbelanjaan bagi menyambut bulan Ramadan pada tahun ini,” katanya.

Engku Azizah Abd. Rahman,75 syukur dengan sumbangan barangan keperluan harian yang diterima.

Engku Azizah Abd. Rahman,75 syukur dengan sumbangan barangan keperluan harian yang diterima.

Berkongsi rasa yang sama, Zaiton Abd.Rahman, 67, berharap semangat berkongsi rezeki oleh pihak yang berkemampuan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Harapan saya, semua umat Islam dapat menjalani ibadah puasa dengan baik dan kita semua bersabar dengan ujian COVID-19 yang kita hadapi kini,” katanya.

Zaiton Abd. Rahman, 67 berharap semua umat Islam dapat menjalani ibadah puasa dengan baik.

Zaiton Abd. Rahman, 67 berharap semua umat Islam dapat menjalani ibadah puasa dengan baik.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Kelab Kembara Prihatin Terengganu Syed Mohd Zailani Ku dan Pengerusi Kelab Motor Terengganu Datuk Suhaimi Datuk Salleh.

-ii-

Tinggalkan komen anda