Skip to main content
HomeRencana & Pendapat

Apati atau Takut? Andai Mereka Peduli

By 29 Disember 2017Januari 2nd, 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan: Syed Hisham Shah (Putrajaya) Foto : Ihsan harian Metro

PUTRAJAYA, 29 Dis (Malaysiaaktif) – Seorang remaja perempuan berumur 17 tahun berjaya diselamatkan setelah tujuh hari menjadi mangsa culik dan rogol di Kedah. Mangsa berjaya diselamatkan selepas dikurung di sebuah rumah selama seminggu malah turut dirogol beberapa kali oleh suspek utama.

Suspek utama berusia 50-an memiliki 33 rekod jenayah lampau dan orang dikehendaki bagi kes samun, kurungan salah, dadah, memiliki senjata berbahaya dan ugutan jenayah.

Namun yang menurut satu laporan akhbar kenapa penduduk kampung tidak mengambil tindakan terhadap suspek, alasan mereka adalah takut dengan suspek, lantas mengambil keputusan untuk tidak peduli urusan suspek walaupun nyawa seseorang menjadi taruhan.

Dapatkah kita selami keadaan mangsa yang terkurung selama tujuh hari tersebut yang terpisah daripada rantaian kehidupan, kasih sayang keluarga dan sebuah kebebasan hidup. Andai berselang jam sekalipun sudah cukup memlegakan mangsa apatah lagi sekiranya tindakan awal diambil penduduk sejak mangsa mula di bawa ke rumah tersebut.

Ironinya mungkin masyarakat terlalu berpegang kepada peribahasa ‘jaga tepi kain sendiri’ sehingga tidak peduli lagi tentang baik buruk sesuatu perbuatan terhadap seseorang individu khususnya dan masyarakat secara amnya.

Persoalannya mudah sahaja, sekiranya mangsa adalah dalam kalangan yang kita kenali, ahli keluarga mahupun sahabat handai, adakah kita masih membisu? Andai itulah jawapannya, maka kita tidak layak hidup bermasyarakat.

Kes ini bukan satu-satunya yang berlaku akibat daripada penidakkan masyarakat terhadap kemungkaran yang berlaku di hadapan mata. Terdahulu, Syafiah Humairah Sahari telah disepak dan dipijak hingga mati di padang bola dengan disaksikan puluhan penduduk kampung oleh teman lelaki ibunya yang turut tinggal serumah dengan mangsa.

Kejadian berlaku di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Selangor tujuh tahun lalu tidak akan pernah dilupakan kerana tragedi yang meragut nyawa kanak-kanak berusia tiga tahun itu cukup menyayat hati.

Ketika kejadian, mangsa telah dipijak serta disepak oleh suspek yang positif dadah. Jika difikirkan dengan logik akal, apalah dayanya kudrat seorang yang separa sedar berbanding puluhan penduduk kampung yang menyaksikan kejadian tersebut. Perbuatan tersebut dapat dihentikan sekiranya penduduk bersama-sama menghalang lelaki tersebut daripada terus memukul kanak-kanak malang itu, dan memungkinkan satu nyawa diselamatkan.

Menyorot kembali kemalangan yang berlaku di di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru yang mengakibatkan kematian lapan orang remaja berbasikal sekitar pukul tiga pagi. Apa yang menjelikkan apabila ‘kehilangan’ anak-anak ini langsung tidak dipeduli ahli keluarga sendiri, dan difahamkan aktiviti berbasikal haram itu bukanlah sesuatu yang baharu bagi warga setempat.

Sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing sebaik mungkin, pasti ada nyawa  dan jiwa dapat diselamatkan. Tindakan juga boleh dikenakan terhadap ibu bapa dan penjaga di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak kerana membiarkan anak-anak mereka tanpa pengawasan, dan sehingga hari ini, kes tersebut masih belum selesai dan masih dibicarakan di mahkamah. Kita mengharapkan keadilan, namun kita tidak melakukan apa-apa untuk menegakkan keadilan tersebut.

Kita tidak melihat isu peduli ini dalam konteks yang lebih luas seperti Rohingya dan Palestin, cukup sekadar dalam konteks komuniti setempat. Ada masanya kita tersenyum sendirian mengenangkan ditegur orang tua ketika membesar dahulu kerana itulah yang menyelamatkan kita daripada masalah yang lebih besar.Namun sayangnya, budaya tersebut makin terhapus dek sifat kepedulian yang kian terhakis.

Andainya aku peduli pasti kemungkaran aku perangi, andainya aku peduli pasti mereka ada lagi dan andainya aku peduli mungkin semua ini tidak akan terjadi.

Tinggalkan komen anda