
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Malaysiaaktif) — Kementerian Pendidikan akan mencetak semula buku mata pelajaran sejarah tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dengan melakukan pembetulan dan penambahbaikan pada kesilapan yang didakwa pada buku berkenaan.
Timbalan Menteri P. Kamalanathan berkata keputusan itu dibuat selepas semakan dan penelitian oleh sekumpulan Pakar Rujuk Kurikulum dan Buku Teks Sejarah sebaik sahaja kementerian menerima laporan rasmi mengenai perkara tersebut
Kamalanathan berkata demikian ketika menjawab soalan ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew di persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.
Oscar bertanya mengenai tindakan KPM berhubung laporan buku teks sejarah tahun lima SJKC yang dikatakan mengandungi 80 kesalahan termasuk fakta-fakta mengenai penjajahan Jepun.
Kamalanathan menyatakan hasil semakan juga mendapati hanya sembilan isu sahaja yang diutarakan dan sebahagian besar isunya adalah tidak salah kerana ia berdasarkan fakta sebenar.
Menjawab soalan tambahan ahli parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris mengenai pelaksanaan semula hukuman rotan ke atas pelajar sekolah bagi membendung masalah displin dalam kalangan pelajar, Kamalanathan berkata KPM telah menjalankan dialog polisi dan libat urus hukuman rotan di enam zon seluruh negara mulai Mac lalu hingga Mei tahun ini.