
KOTA KINABALU, 27 Mei (Malaysiaaktif) — Dua mangsa culik dari Restoran Ocean King, Sandakan, Sabah pada 14 Mei lalu dilaporkan berada dalam keadaan baik.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaludin Abdul Rahman berkata, usaha masih diteruskan bagi membebaskan kedua dua mangsa berkenaan.
Dalam insiden di restoran itu, empat lelaki bersenjata dan berceloreng menculik pengurus restoran, Thien Nyuk Fun, 49 tahun dan seorang pelanggan Bernard Then,38 tahun.
Mereka kini dilaporkan berada di satu daripada pulau-pulau di Selatan Filipina .
Penculik sebelum ini membuat tiga panggilan telefon kepada keluarga mangsa dan menuntut sejumlah wang tebusan bagi pembebasan kedua dua mangsa culik itu.