Skip to main content
Home

Kontraktor IWK Menyebabkan Gangguan Air Di Klang

By 19 Mei 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Malaysiaaktif) – Gangguan Bekalan air tidak berjadual dan tekanan rendah di beberapa kawasan di Klang adalah disebabkan paip pecah pada 14 Mei lalu akibat kerja mengorek oleh kontraktor Syarikat Indah Water Konsortium (IWK).

Dalam satu kenyataan yang turut dihantar kepada Malaysiaaktif, Syabas berkata gangguan itu membabitkan kerosakan pada paip keluli (mild steel) di Simpang Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, Klang.

Sehingga kenyataan dikeluarkan malam tadi, kerja pembaikan masih belum dapat disiapkan sepenuhnya berikutan pelbagai faktor di luar kawalan.

Menurut Syabas, ini termasuk kesukaran peringkat awal untuk mengenal pasti lokasi paip, kerana ia tertanam melebihi enam meter di dalam tanah dan  tanah yang lemah walaupun digunakan cerucuk besi.

Syabas menganggarkan kerja baik pulih siap petang Rabu 20 Mei ini.

Bagi mempercepatkan pemulihan bekalan air dan mengurangkan kesulitan di kawasan yang terjejas, Syabas terpaksa  melaksanakan pemasangan paip pintasan sementara kerja pembaikan paip pecah dilakukan.

Sehingga 12 tengah hari Isnin, bekalan air di kawasan Laguna Park dan Megahub telah pulih sepenuhnya.

Sementara itu, lori tangki air dihantar ke kawasan pengguna yang masih belum mendapat bekalan air. Namun, begitu Syabas berkata bekalan air kecemasan melalui lori-lori tangki amat terhad dan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan klinik-klinik kesihatan di samping keperluan meruncing seperti majlis kenduri dan kematian.

Sehubungan itu, sepanjang tempoh gangguan, Syabas meminta pengguna berjimat cermat dan mengurangkan penggunaan air yang diterima dari bekalan air kecemasan ini.

Pengguna boleh mengakses terus semua maklumat terperinci dan status pemulihan di kawasan masing-masing melalui aplikasi telefon mudah alih mySYABAS yang boleh dimuat turun menerusi Google Playstore / Appstore).

Maklumat yang sama juga boleh didapati daripada laman web SYABAS di www.syabas.com.my. SYABAS juga akan terus memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa melalui media massa.

Dalam pada itu, Syabas sekali lagi memaklumkan bahawa kerosakan paip air disebabkan pihak ketiga sering berlaku walaupun telah ditegaskan oleh SYABAS bahawa mereka perlu dirujuk terlebih dahulu dalam merancang kerja melibatkan tapak di mana terdapat laluan jajaran paip air.

 

Tinggalkan komen anda