
KUALA LUMPUR, 17 Jun — Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak menolak laporan berita bahawa beliau akan menubuhkan sebuah parti politik baharu.
“Saya merujuk kepada laporan berita baru-baru ini bahawa saya menubuhkan sebuah parti politik baharu. Ini tidak benar,” kata tokoh perbankan terkemuka itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.
“Saya semakin bimbang terhadap persekitaran sosio-politik dan impaknya terhadap ekonomi.
“Dalam konteks ini, saya ada berbual dengan rakan-rakan yang sealiran pemikiran termasuk (Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global) Datuk Saifuddin Abdullah, mengenai keperluan memberi ruang kepada rakyat Malaysia berfikiran sederhana menyampaikan pandangan, pendapat dan cadangan.
“Kami ada membincangkan penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tetapi ia hanya idea pada masa ini,” jelas Nazir.
Sementara itu, Saifuddin yang juga bekas timbalan menteri pendidikan melalui kenyataan berasingan turut mengesahkan bahawa memang terdapat perbincangan untuk menubuhkan NGO dan bukan parti politik.
“Merujuk kepada kenyataan oleh Datuk Seri Nazir Razak, saya ingin mengesahkan terdapat perbincangan oleh beliau dan rakan-rakan termasuk saya mengenai situasi sosio-politik dan ekonomi semasa.
“Kami bercadang menubuhkan NGO sebagai platform untuk suara sederhana,” katanya.
— BERNAMA