Skip to main content
EkonomiHomeViral

Peluang Graduan untuk Temui Bakal Majikan

By 29 Julai 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh : Dila Khamde

SHAH ALAM, 28 Julai 2015 (MalaysiaAktif) – Graduan yang telah menamatkan pengajian berpeluang  bertemu bakal majikan di Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) dari 4 hingga 6 September 2015 dari pukul 9 pagi hingga 6 petang di Grand Ballroom, Aras 15 Sunway Resort & Spa Hotel.

Tahun ini, UiTM dilantik sebagai tuan rumah bagi K3G 2015.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Prof  Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, berkata “UiTM dengan gerak kerja utama Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED) diberi tanggungjawab memastikan segala persiapan dari segi kepakaran dan tenaga karnival ini dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau berkata, UiTM menyambut baik inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menganjurkan K3G sebagai usaha ‘triple helix,’ iaitu kolaborasi antara kementerian, universiti dan industri ke arah melahirkan modal insan dinamik dan berpengetahuan tinggi.”

Menurut beliau, tema “Nurturing Enterprising Talent” bertujuan melahirkan graduan yang tidak sahaja bersandarkan kepada kecemerlangan akademik, malah berbakat untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Menurut Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang, ini merupakan kali keenam inisiatif tahunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), K3G diadakan sejak 2009.

Tambah beliau, tujuan kerajaan mengadakan karnival ini untuk memastikan para graduan bersedia menceburi bidang pekerjaan dan juga bagi mereka yang berkemampuan dan berminat menceburi bidang keusahawanan.

Sepanjang tempoh tiga hari tahun lepas, acara yang terbesar di Malaysia ini dikunjungi lebih 200 ribu orang.

Tahun ini juga penganjur menjangkakan seramai 200 ribu orang akan menghadiri karnival tersebut.

Sebanyak 5 ribu peluang pekerjaan dan 600 peluang keusahawanan dalam bentuk dana dan program bakal ditawarkan pelbagai pihak untuk membolehkan para graduan menjadi usahawan.

Pelbagai aktiviti lain juga akan disediakan, termasuk sesi temu duga, latihan untuk menghadiri temu duga dan latihan menyediakan resume. Latihan dan program itu akan dikendalikan oleh tokoh-tokoh usahawan tempatan.

Tinggalkan komen anda