
Oleh: Faris Fuad
KUALA LUMPUR, 15 Sept (Malaysiaaktif) – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa mereka telah memulakan pencarian ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan.
Timbalan Presidennya, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad menegaskan pihaknya telah mengambil keputusan untuk melantik jurulatih baharu tidak kira tempatan ataupun luar negara selewat-lewatnya hujung tahun ini.
“Memang dari sudut tertentu, ramai yang mahukan ia dalam kalangan jurulatih asing tetapi kita terbuka. Siapa yang mencapai kriteria, tiada masalah untuk kita memilihnya.
“Kriteria yang kita tekankan ialah individu tersebut mestilah memiliki keupayaan dan mempunyai tahap profesionalisme yang baik,” katanya dalam web rasmi FAM, www.fam.org.my.
Beliau juga memaklumkan sementara pencarian itu dibuat, ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee akan kekal sebagai jurulatih skuad senior kebangsaan.
Dalam perkembangan berkaitan, FAM juga akan memperkenalkan satu panel pemilihan baru yang tediri daripada pegawai MSN dan FAM bagi membuat keputusan berkaitan kekosongan jawatan ketua jurulatih B-23 negara.
“Biarpun kita ketahui Kim Swee masih merupakan ketua jurulatih skuad B-23 negara sehingga kontraknya tamat penghujung Disember 2015, beliau akan teruskan tugasannya selaku jurulatih sementara skuad kebangsaan ketika ini sehingga tempoh berkenaan.
“Dalam tempoh seminggu ini juga, saya akan berjumpa dengan beliau untuk menjelaskan situasi ini kerana memahami beliau turut memerlukan satu keputusan pasti mengenai statusnya,” katanya.
Sebelum ini, Dollah Salleh mengumumkan peletakan jawatannya sebagai jurulatih skuad bola sepak kebangsaan pada 4 Sept lalu ekoran kekalahan besar kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jaringan 10-0.