
Oleh Faris Fuad
PETALING JAYA, 28 Sept (Malaysiaaktif) – Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Sukhdave Singh berpendapat pengurusan kewangan yang bijak dapat mengukuhkan lagi struktur ekonomi negara.
Sehubungan itu, keputusan yang dibuat berkaitan pengurusan harus dijadikan keutamaan.
“Tidak ada bezanya dalam tadbir urus kewangan, sama ada keputusan kewangan di peringkat antarabangsa atau negara, awam atau swasta, tadbir urus kewangan yang padu merupakan tunjang atau asas kepada ekonomi yang stabil dan kukuh,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Ekonomi Malaysia 2015 di Universiti Malaya semalam.
“Urus kewangan yang lemah akan menjurus kepada kesilapan, dan oleh itu mereka mesti melaksanakan tadbir urus yang baik dan dijadikan keutamaan dalam ekonomi dan politik.”
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA), Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim menekankan betapa pentingnya aspek pengurusan kewangan memandangkan ia memberi kesan kepada keputusan yang dibuat.
“Sebarang usaha untuk menambah baik, sekat dan imbang dalam membuat keputusan, bagi menangani punca masalah,” katanya ketika ditemui media di majlis yang sama.
Konvensyen tersebut berlangsung selama dua hari bertemakan ‘Pertumbuhan Ekonomi dan Tadbir Urus Kewangan’ yang disertai lebih 100 peserta.
Ia dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) dan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya.