Skip to main content
EkonomiHome

Bajet 2016: Penambahbaikan Pengangkutan Awam

By 23 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Aimi Huwaina

Penduduk di kawasan bandar boleh menarik nafas lega dengan penambahbaikan sistem pengangkutan awam yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, hari ini.

Sistem Pengangkutan Awam efisien dengan peruntukan yang besar sedang rancak dibangunkan bagi memudahkan kehidupan rakyat di kawasan bandar.

Turut diumumkan status terkini projek pengangkutan awam bersepadu MRT-LRT.

Projek sambungan LRT Laluan Ampang, dengan jarak 18.1 kilometer, akan mula beroperasi pada Mac 2016. Manakala projek sambungan LRT Laluan Kelana Jaya sehingga Putra Heights, dengan jarak 17.4 kilometer akan mula beroperasi pada pertengahan tahun 2016. Kedua-dua projek sambungan ini, bernilai 10 bilion ringgit.

Projek MRT jajaran Sungai Buloh – Semantan pula akan mula beroperasi pada Disember 2016. Manakala, Fasa 2 Semantan-Kajang dijangka siap pada pertengahan 2017. Projek berjarak 51 kilometer ini sedang dilaksanakan dengan kos 32 bilion ringgit.

Sementara itu, pihak kerajaan juga telah memulakan rangkaian perhubungan awam lain bagi memenuhi permintaan ramai seperti berikut:

PERTAMA: Projek MRT II dari Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya dengan jarak 52 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 28 bilion ringgit. Kerja pembinaan direncana bermula dalam suku kedua 2016 dan dijangka siap menjelang 2022.

KEDUA: Projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara- Johan Setia, Klang dengan jarak 36 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 10 bilion ringgit. Ia mula dibina 2016 dan siap pada 2020. Di samping itu, Kerajaan juga akan meneruskan rundingan High Speed Rail dengan Kerajaan Singapura; dan

KETIGA: Bagi perkhidmatan awam bas, projek Bus Rapid Transit atau BRT KL-Klang pada kos melebihi 1.5 bilion ringgit, dan BRT Kota Kinabalu pada kos hampir 1 bilion ringgit akan dilaksanakan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan penetapan kadar tambang baharu bagi teksi dan kereta sewa (naik antara 20 hingga 67 peratus) manakala bas ekspress (naik 22.6 peratus) berkuat kuasa pada 15 Mei 2015. Diikuti dengan pengumuman kadar tol lebuh raya dalam bandar yang dinaikkan antara 17 hingga 80 peratus bermula 15 Oktober.

Tinggalkan komen anda