Skip to main content
HomeViral

Kerajaan Sedia 486 Klinik Khas Bantu Perokok

By 28 Oktober 2015Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya hari ini berkata ini kerajaan telah menyediakan 486 klinik khas bagi membantu golongan perokok untuk berhenti merokok.

Namun begitu, beliau memaklumkan hanya 18 peratus sahaja menggunakan perkhidmatan yang disediakan kerajaan itu.

“Terdapat 70 peratus masyarakat mahu berhenti merokok, namun secara purata (mereka) boleh berhenti apabila mendapat lapan kali rawatan,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Dr Hilmi  menjelaskan kementerian masih dalam usaha memperluas zon larangan merokok dengan harapan ia boleh mengurangkan bilangan perokok dalam negara.

“ Kerajaan ini telah mengambil langkah mewartakan beberapa kawasan larangan merokok termasuk kawasan rehat dan rawat di lebuh raya seperti yang termaktub dalam Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.”

Dr Hilmi turut melahirkan rasa bimbang terhadap penggunaan rokok elektronik atau lebih dikenali sebagai vape yang dipercayai digunakan sebagai alasan untuk berhenti merokok.

“Sehingga kini, terdapat dakwaan mengatakan vape mengandungi 7,000 bahan kimia dan 87 daripada bahan itu berpotensi menyebabkan kanser,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menggesa para pengguna rokok elektronik supaya berhenti daripada tabiat menghisap bahan tersebut sehingga status penggunaannya di negara ini dikeluarkan.

Beliau berkata pihaknya masih berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai penggunaan vape dan shisha kepada kesihatan.

 

Tinggalkan komen anda