Skip to main content
EkonomiViral

Teks TPPA Disediakan Dalam Tempoh Sebulan Lagi

By 7 Oktober 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)

PUTRAJAYA, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Teks Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dihebahkan kepada orang awam dalam tempoh 30 hari dan dijangka tidak berkuat kuasa dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menteri Perdagangan Antrabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamad menyatakan demikian dalam Sidang Media Khas di Menara Usahawan, Presint 2, Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata, dokumen akhir itu berserta dua analisis kos dan faedah oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) serta Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) akan dibentangkan kepada Kabinet dan Parlimen.

Katanya, sokongan majoriti mudah di Parlimen diperlukan untuk membolehkan Malaysia menyertai perjanjian tersebut.

Beliau menambah kerajaan secara keseluruhannya bersetuju bahawa TPPA memberi faedah kepada Malaysia dan penyertaan dalam TPPA akan menambah daya saing produk Malaysia, seperti barangan elektrik dan elektronik, kimia, minyak sawit, getah, kayu, tekstil serta komponen automotif.

Ini, katanya lagi, akan menjana hasil besar kepada ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat.

Mustapa turut menegaskan bahawa TPPA tidak harus menghalang akses orang ramai kepada ubat dan perkhidmatan penjagaan kesihatan mampu milik.

Beliau berkata, kedudukan Malaysia yang istimewa termasuk mengenai hak bumiputera telah diambil kira dalam TPPA.

Rundingan mengenai kandungan TPPA diselesaikan di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) tetapi Malaysia masih belum menandatangani perjanjian tersebut kerana penyertaan Malaysia akan diputuskan Ahli-ahli Parlimen.

 

 

Tinggalkan komen anda