Skip to main content
HomeViral

Badrul Atasi Rekod 17 Tahun Watson Nyambek

By 24 November 2015Tiada komen2 minit bacaan
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Malaysiaaktif) –  Pelari pecut muda, Badrul Hisham Manap 18 berjaya mengatasi rekod 17 tahun milik pelari pecut negara, Watson Nyambek dalam acara 100 meter dengan catatan 10.29 saat di Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG 2015) di Brunei.

Pelari Sekolah Seri Kota Melaka itu berjaya mengatasi rekod 10.30 saat Watson Nyambek yang dicatatkan ketika Sukan Komanwel 1998.  Dalam kejohanan yang berlangsung semalam, Badrul menewaskan rakan senegara Asnawi Hashim (10.71 saat) dan pelari Thailand, Worawut Salabal (10.87 saat)

Menurut Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, beliau bangga dengan kejayaan Badrul memenangi acara utama kejohanan tersebut.

‘Kami harap dia dapat mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Riod di Brazil nanti sekiranya boleh memperbaik masa peribadinya. Malah KOM mahu dia terus dibimbing oleh jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Badrul yang telah memenangi acara utama yang menjadi tumpuan ramai atlet olahraga dan membawa dimensi baharu kepada acara itu. Tahniah kepada kontinjen kita,’ katanya kepada wartawan Harian Metro.

Sebagai pemegang rekod baharu kebangsaan, Badrul akan turut menerima RM5000 daripada pihak KOM. Sehingga hari ini kontinjen Malaysia telah meraih lima emas, tiga perak dan satu gangsa.

Hari ini Badrul akan bertanding dalam acara 200 meter dengan catatan peribadi terbaiknya 20.88 saat yang direkodkan di Kejohanan Terbuka Universiti Malaysia Arau, April lepas.

Kejohanan ASG kali ke-7 yang berlangsung dari 21 November hingga 29 November disertai oleh lapan buah negara ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Lao, Malaysia, Filipina, Vietnam, Singapura dan Thailand.

 

Tinggalkan komen anda