Skip to main content
EkonomiHome

Kandungan TPPA Boleh Disemak Rakyat Dalam 24 Jam

By 5 November 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdangangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan akan mendedahkan kandungan perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP) bagi tujuan rujukan yang lebih mendalam kepada rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan maklumat tersebut mempunyai 30 bab boleh dilihat di laman web rasmi MITI dalam tempoh 24 jam bermula petang ini.

“Teks ini panjang, ada 30 bab, beberapa ratus muka surat…panjang ceritanya, kerana dibangkitkan di dalam dewan ini, yang mana ahli-ahli yang berhormat minta didedahkan kepada umum maka, masanya akan tiba iaitu dalam tempoh 24 jam. Nothing to hide,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Semua akan diketahui – daripada A ke Z, selepas itu kira-kira yang mana kita belum pasti lagi, di mana teks ini akan diberikan kepada dua pihak yang sedang mengkaji TPPA yang sedang buat kajian kos benefit analysis.

“Dalam tempoh dua atau tiga minggu mereka akan menyiapkan kajian dan juga akan menjadi bahan rujukan kepada umum.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli memaklumkan laporan TPPA yang dibuat oleh dua agensi, iaitu PricewaterhouseCoopers dan Institute of Strategic & International Studies (Isis) akan dapat dinilai oleh rakyat.

Mustapa berkata hasil kajian tersebut akan dibahaskan dalam Dewan Rakyat susulan persetujuan rasmi daripada pihak Speaker parlimen.

“Tetapi ini belum dibincang rasmi dengan pihak Speaker. Kalau ikut cadangan awal mungkin ia akan berlangsung pada bulan Januari atau awal bulan Februari..itu ikut cadangan kerajaan. Tertakluk kepada keputusan Speaker.

“Maknanya TPPA akan dibincang, dibahas dan diputuskan oleh Parlimen,” katanya lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi mandat kepada Mustapa berkenaan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Beliau berkata, kabinet memberi mandat itu atas dasar tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kepentingan ekonomi jangka panjang negara dipelihara.

 

Tinggalkan komen anda