Skip to main content
HomeViral

Kaum, Bangsa Masih Relevan Dalam Borang Rasmi Kerajaan

By 23 November 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Parlimen)

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Kerajaan mengesahkan maklumat identiti kaum atau bangsa masih perlu diisi dalam beberapa borang rasmi kerajaan bagi memenuhi aspek perundangan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun memaklumkan ruangan tersebut masih diperlukan dalam beberapa borang itu ekoran keperluan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya lagi, ia juga dikekalkan bagi memenuhi kehendak pemegang taruh bagi tujuan penyelidikan lanjut.

“Usaha bagi merealisasikan bangsa Malaysia melalui borang rasmi sudah bermula sejak tahun 2009 lagi.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Julai 2009 telah bersetuju bahawa borang-borang yang digunakan oleh kerajaan, melainkan MyKad dan dokumen penting tertentu dikaji semula oleh agensi-agensi kerajaan untuk menggugurkan maklumat identiti kaum yang tidak diperlukan.

“Penggunaan identiti kaum dan bangsa dalam borang rasmi kerajaan masih diperlukan bagi keperluan dan tujuan tertentu sebagaimana yang dinyatakan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Joseph menjelaskan agensi MAMPU telah membuat tinjauan bagi mengkaji keberkesanan ruangan maklumat identiti tersebut.

“Agensi-agensi kerajaan telah mengambil tindakan bagi mengkaji keperluan penggunaan identiti kaum dalam borang rasmi kerajaan di peringkat masing-masing.

“Tinjauan MAMPU (Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia) pada 2011 ke atas 346 borang rasmi kerajaan mendapati hanya 198 borang dikekalkan ruangan identiti kaum disebabkan keperluan dan tujuan tertentu yang dinyatakan,” katanya lagi.

 

Tinggalkan komen anda