Skip to main content
EkonomiHomeViral

RTM Batal Siaran Langsung Debat 1MDB  

By 4 November 2015Tiada komen1 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (Putrajaya)

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Malaysiaaktif) – Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah membatalkan siaran langsung debat antara Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menjelaskan keputusan itu dibuat susulan pengesahan oleh Pua bahawa beliau tidak akan menyertai debat tersebut.

“Ia dibatalkan disebabkan Tony Pua tidak lagi akan menyertai debat itu. Sebab ikut persetujuan awalnya, ini melibatkan Arul Kanda dan juga Pua.

“Ini juga bagi menghormati keputusan Speaker. Kita hormat keputusan Parlimen,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berpendapat sesi debat itu masih boleh diteruskan, tetapi tanpa Tony Pua.

Beliau berkata penyertaan Pua akan menyebabkan kedudukannya  sebagai anggota Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC)  terjejas dan parti DAP akan memastikan ia tidak berlaku.

Semalam, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memaklumkan bahawa beliau akan membenarkan debat 1MDB sekiranya ia dibuat selepas selesai prosiding PAC berhubung syaikat pelaburan itu bagi mengelakkan integiriti Parlimen tercabar.

 

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda