Skip to main content
EkonomiHomeViral

Kerajaan Laksana lebih 90% Manifesto Aku Janji BN – Najib

By 10 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (PWTC)

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Malaysiaaktif) —Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan pihaknya berjaya melaksanakan lebih 90 peratus inti pati manifesto Aku Janji yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

Namun, beliau mengakui terdapat janji yang masih belum ditunaikan yang turut merisaukan rakyat.

“Kita perakui, masih terdapat dua atau tiga perkara yang besar dan subjektif, seperti perumahan rakyat dan kos sara hidup, yang saya dan rakan-rakan kepimpinan negara faham bahawa isu ini adalah besar dan menjadi keresahan utama kepada rakyat.

“Apa yang mustahak, ia menjadi tanda bahawa kita adalah sebuah kerajaan yang menepati janji-janjinya,” katanya ketika menyampaikan ucapan Dasar Presiden Umno di PWTC hari ini.

Jelasnya, kerajaan akan terus mempelbagaikan program dan inisiatif untuk membantu bagi meringankan beban rakyat.

“Pokoknya, kita akan terus berusaha, bagi meringankan beban rakyat dengan pelbagai bantuan seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), Klinik Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia dan projek-projek Perumahan Mampu Milik serta kenaikan gaji minima dan juga kenaikan gaji tahunan untuk penjawat awam,” kata Najib.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan sebanyak 160,000 daripada sejuta unit rumah mampu milik yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Aku Janji pilihan raya lepas siap dibina setakat 30 September 2015.

Beliau berkata kerajaan sememangnya komited meneruskan projek perumahan berkenaan kerana perkara itu dekat di hati rakyat walaupun menghadapi pelbagai cabaran ekonomi yang dilihat tidak menentu di semua negara.

 

Tinggalkan komen anda