
KUALA LUMPUR, 30 Dis — Markas Tentera Darat (MTD) di sini hari ini mengesahkan mayat Kapten Hasman Hussin yang dilaporkan hilang Sabtu selepas dipercayai dihanyutkan banjir di Pulaski County, Missouri, Amerika Syarikat telah ditemui pada Isnin.
MTD dalam kenyataannya hari ini menyebut bahawa mayat Allahyarham ditemui pada 11 pagi waktu tempatan pada 28 Disember dan jenazahnya dibawa ke rumah mayat Hospital Fort Leonard Wood.
“Keluarga Allahyarham telah dimaklumkan tentang penemuan ini oleh Pegawai Kanan Tentera Darat yang telah melakukan lawatan pagi tadi ke rumah Allahyarham di Felda Palong, Negeri Sembilan dan di Masjid Tanah, Melaka,” menurut kenyataan itu.
MTD menjelaskan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk menguruskan pergerakan waris terdekat mangsa ke Amerika Syarikat (AS) bagi tujuan proses pengecaman dan pengesahan jenazah.
“Urusan membawa balik jenazah sedang diusahakan secepat mungkin dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di AS dan Kedutaan AS di Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu lagi.
Menurut kenyataan itu kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seluruh warga TD mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan akan memastikan segala urusan membawa pulang dan pengebumian jenazah berjalan lancar.
Hasman yang sedang menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Okt lepas dilaporkan hilang apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakan kolejnya dihanyutkan banjir di Missouri, yang turut meragut nyawa empat rakannya.
— BERNAMA