Skip to main content
EkonomiHomeViral

Niat Baik, Kenyataan #2Kerja Disalahertikan – Ahmad Maslan

By 30 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata beliau berniat baik apabila menasihatkan orang ramai melakukan dua kerja bagi menampung kos sara hidup, namun cadangannya itu disalahertikan segelintir pihak.

Jelasnya, pandangan tersebut itu dibuat dalam konteks perniagaan atas talian sebagai kerja sampingan.

“Ada pegawai maklumkan kepada saya, contoh kejayaan ialah jual gula melaka, dia dapat jualan empat juta ringgit Malaysia.

“Itu sebab saya amat gembira untuk menghebahkan tentang perniagaan atas talian,” katanya.

Beliau juga berpendapat lebih baik rakyat menggunakan media sosial untuk berniaga daripada melayarinya tanpa faedah sehingga lewat malam.

Tambahnya, ia boleh menjadi sumber pendapatan kedua untuk menampung kos sara hidup yang kian mencabar.

“Rakyat Malaysia ini minat media sosial, kadangkala berwhatsapp sampai jauh tengah malam, FB dan Twitter. Tak tahulah hasil apa yang mereka dapat itu.

“Alangkah eloknya kalau mereka belajar tentang e-dagang. Dalam digital ekonomi ini boleh menambah pendapatan,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Pameran Eksport Malaysia hari ini.

Sementara itu, beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap pihak tertentu yang selalu melihat nasihatnya dari sudut negatif.

Namun, beliau yakin kenyataannya tempoh hari akan difahami rakyat Malaysia suatu hari nanti.

“Apa kata kalau rakyat Malaysia kita spin sesuatu itu ke arah positif. Kalau kita spin suatu perkara ke arah negatif maka selamanya ia akan negatif dan kita tak dapat mencapai apa-apa manfaat.

“Jadi janganlah apa yang saya cadang dilihat dari sudut negatif, spin ke arah negatif selalu tak adil terhadap saya.

“Perkara (seperti) GST (cukai barangan dan perkhidmatan) selalu difikirkan negatif tetapi akhirnya GST selamatkan ekonomi negara. Tak apalah, akhirnya rakyat akan faham,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan memaklumkan pihaknya telah meminta agensi bawah MITI untuk memberi fokus  kepada perniagaan e-dagang bermula tahun hadapan.

“Punca saya beri pandangan itu kerana saya lihat potensi perniagaan atas talian ini dan kerana ramai rakyat Malaysia ada telefon pintar dan minat media sosial.

Sebelum ini, beliau mempertahankan kenyataannya di  Twitter, mengatakan beliau mempunyai 3 kerja iaitu timbalan menteri, ahli Parlimen Pontian dan ketua penerangan Umno, namun mendapat banyak respon negatif.

“Saya ada 3 kerja: Ahli Parlimen, Timb Menteri, Ketua Penerangan Umno. Ramai dah di Msia yang buat #2Kerja. Berusaha gigih cari rezeki yang halal,” menurut posting Twitternya tempoh hari.

Susulan insiden tersebut, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat cadangan tersebut tidak menimbulkan sebarang isu namun apa yang sedang dihadapi negara ialah tiada peluang pekerjaan.

Beliau berkata selain tiada peluang pekerjaan, gaji semasa pekerja juga tidak cukup untuk menampung kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat.

“Saya satu kerja pun tak ada. Masalahnya sekarang ialah tiada peluang pekerjaan.

“Kita kata ada satu kerja tak cukup pendapatan maka kena cari pekerjaan lain pula tambah pendapatan,” katanya.

 

 

Tinggalkan komen anda