Skip to main content
EkonomiHomeViral

Perlu Ruang Berucap, Tapi Hormat Keputusan MT – Shafie Apdal

By 10 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh Faris Fuad (PWTC)

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Malaysiaaktif) — Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berpendapat Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden Umno harus diberi platform untuk berucap pada penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015.

Beliau berkata cadangan itu selari dengan pandangan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak melalui ucapannya pagi tadi yang menggesa ahlinya untuk saling menghormati antara satu sama lain.

“Beliau beri pandangan selaku presiden parti. Kita terima hakikatnya. Dalam politik ini akan ada banyak perbezaan pendapat dari segi cara dan kaedahnya.

“Kita perlu saling hormat-menghormati tentang perbezaan pendapat. Itu yang saya minta supaya kita juga perlu berucap. Tentang pandangan kita pula bagaimana?“ katanya ketika ditemui media di perkarangan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas Perasmian PAU2015 hari ini.

Walau bagaimanapun, Shafie menjelaskan beliau menghormati keputusan Majlis Tertinggi Khas Umno yang membuat keputusan bahawa hanya Najib yang akan berucap dalam ucapan penggulungan yang dijadualkan Sabtu ini.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu turut menegaskan pihaknya sentiasa melontarkan pendapat dan teguran di platform yang betul.

“Selama ini saya telah melakukan amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin. Selaku naib presiden, saya tak pernah abaikan sama ada berbentuk memberi sokongan malahan teguran dan beri pandangan bukan untuk bererti bahawa semata-mata kita memberi kesetiaan kepada presiden.

“Dalam mempertahankan kerajaan itu banyak cara dan pendekatan yang perlu kita laksanakan dan mengatasi banyak isu yang perlu diselesaikan dan diperjelaskan dan kita beri pandangan,peringatan -peringatan perlu diambil selaku ahli Umno.” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan kandungan ucapan Najib yang dilihat telah banyak menekankan aspek pengorbanan anak bangsa.

Tambahnya, Umno telah berjaya melahirkan anak bangsa yang berilmu bagi memastikan Melayu sentiasa maju dan terbela.

Tun berkata ia jelas satu kejayaan yang diperolehi oleh parti bukan hanya hasil usaha beberapa individu.

“Saya setuju dengan ucapannya bahawa Umno telah berjaya memajukan negara kita ini sehingga ada doktor dapat jadi pakar. Itu Umno, bukan pemimpin Umno.

“Umno berjaya tapi janganlah ambil kredit kejayaan Umno itu seolah-olah itu kejayaan kita sendiri. Saya pun tak pernah ambil kredit,” katanya ketika ditemui media di perkarangan PWTC hari ini.

Namun, usaha para pengamal media untuk mendapatkan reaksi daripada Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal apabila beliau tidak dapat dikesan selepas selesai agenda perasmian PAU 2015

Tinggalkan komen anda