Skip to main content
EkonomiHomeViral

SPRM Tidak Boleh Dedah Identiti Penderma RM2.6b

By 27 Disember 2015Tiada komen2 minit bacaan

 

KUALA LUMPUR, 28 Dis — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengulangi jaminan siasatan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion akan dikendalikan secara  bebas, telus dan profesional.

Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin berkata, siasatan itu adalah berdasarkan panduan dan amanat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan pengurusan tertinggi SPRM yang sentiasa tegas, profesional dan bebas.

“Jika terdapat kes, menjadi tanggungjawab kami untuk mencadangkan pertuduhan dalam laporan kertas siasatan yang akan dikemukakan kepada Peguam Negara pada minggu depan. Begitu juga sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Bahri berkata, SPRM bagaimanapun tidak dibenarkan untuk mendedahkan butiran siasatan itu termasuk mendedahkan nama penderma sumbangan dana RM2.6 billion itu.

“Perkara ini juga ada disebutkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman kepada sebuah portal pada 26 Disember 2015, di mana SPRM tidak ada kuasa sehingga kes yang disiasat dibawa ke mahkamah. SPRM berharap semua pihak faham akan perkara ini,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR, Mohd Rafizi Ramli bahawa SPRM perlu mendedahkan nama penderma yang menyumbangkan RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bahri menegaskan Akta SPRM 2009 tidak membolehkan SPRM memaklumkan butiran terperinci kepada orang awam.

Sebelum ini, pada 5 Ogos lalu, SPRM mengesahkan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri merupakan sumbangan daripada penderma Timur Tengah.

Pada 5 Disember lepas, SPRM telah mengambil keterangan daripada Najib berhubung isu SRC dan dana RM2.6 bilion.

Pertemuan itu diadakan selama dua jam setengah dan Najib telah memberi kerjasama yang baik kepada SPRM.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

 

– Bernama

 

Tinggalkan komen anda